Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri parti ‘hijau’ gagal pupuk dasar hijau - DAP
Diterbitkan:  Apr 6, 2021 1:26 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

DAP mengkritik Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man sambil  menyindir PAS susulan tindakan Amerika Syarikat “menyisihkan” Malaysia daripada Sidang Kemuncak Tindakan Perubahan Iklim pada 22 April ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sehingga kini Tuan Ibrahim masih gagal menjelaskan mengapa Vietnam boleh dijemput ke sidang berkenaan, tetapi tidak Malaysia.

“Malangnya, sebagai salah seorang pemimpin parti yang berwarna hijau, Tuan Ibrahim merugikan negara dengan prestasi buruk dalam memupuk dasar hijau sehingga Malaysia dilihat sebagai jauh lebih rendah daripada Vietnam,” katanya.

Menurut Lim lagi Tuan Ibrahim harus sedar diri dengan menetapkan wawasannya untuk mengintegrasikan langkah-langkah perubahan iklim ke dalam bidang tugas agensi-agensi kerajaan.

Sidang Kemuncak Tindakan Iklim itu menampilkan pemimpin dari 40 negara termasuk dari Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Menurut Lim, apa yang berlaku itu menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka selain kemerosotan kedudukan negara sebagai peneraju usaha mempromosi isu perubahan iklim.

"Ramai yang mengatakan tindakan Biden itu boleh dianggap sebagai satu tamparan ke muka Malaysia kerana gagal mempertahankan reputasi sebagai pemimpin dalam tindakan iklim di Asia Tenggara yang berjaya dicapai oleh mantan Menteri PH Yeo Bee Yin," katanya.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak Tindakan Iklim itu diadakan sepenuhnya dalam talian sempena Hari Bumi menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow pada Nov ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata penyisihan Malaysia daripada sidang kemuncak itu mengesahkan bahawa negara ini dilihat lebih sebagai tempat pembuangan sampah plastik berbanding rakan strategik isu alam sekitar.

"Sungguhpun berkali-kali dinafikan oleh Tuan Ibrahim, kerajaan PN sebenarnya mengizinkan Malaysia perlahan-lahan menjadi tempat pembuangan sampah AS untuk sampah plastik 'bersih'.

"Beliau telah menjelaskan bahawa sampah plastik itu bersih, homogenous dan memenuhi kriteria untuk lesen import sisa plastik.

"Sekiranya Tuan Ibrahim begitu yakin tentang bagaimana sampah plastik boleh dikatakan bersih' maka dia harus membenarkan kilang sampah plastik 'bersih' dibina di sebelah rumahnya di Kelantan atau Pahang," katanya.

Lihat Komen
ADS