Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Orang terpinggir' saran Zahid, Anwar bersumpah di masjid
Diterbitkan:  Apr 8, 2021 3:00 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Selepas menyatakan keyakinannya, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa menyarankan agar Ahmad Zahid Hamidi serta Anwar Ibrahim mencontohi Najib Razak untuk mempertahankan diri daripada dakwaan yang sedang dihadapi.

Kata Annuar sebelum ini Najib memilih untuk bersumpah membela diri - selepas dituduh bertanggungjawab atas kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu - di Masjid Kampung Baru.

Najib membuat ikrar sumpah laknat itu pada 20 Dis 2019.

"Kalau nak menyelesaikan kemelut ini mungkin Zahid boleh contohi Najib, pergi ke masjid bersama Anwar dan bersumpahlah.

"Itu satu cara juga, sebab kalau nak tunggu polis siasat lepas tu siasatan tak serupa yang mereka nak, (mereka) kata pula polis berkonspirasi... tak pasal-pasal pula.

"Jadi takkan selesai sampai bila-bila kerana yang jadi saksi (dalam perbualan didakwa itu) mereka berdua," katanya dalam sidang media sempena pelancaran Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di Kuala Lumpur hari ini.

Malah kata menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, jika Ahmad Zahid dan Anwar bersetuju Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedia untuk mengaturkan majlis tersebut.

Semalam politik dalam negara sekali lagi dikejutkan apabila rakaman audio didakwa membabitkan Ahmad Zahid yang juga presiden Umno dan Anwar (presiden PKR) tersebar termasuk melalui media sosial.

Bagaimanapun kedua-dua pemimpin parti politik dan ahli parlimen itu menafikan ia adalah suara mereka.

MT perlu utamakan parti 

Ahmad Zahid sendiri memberitahu dia akan membuat aduan kepada polis bagi membolehkan audio tersebut disiasat.

Anwar pula berkata klip audio berkenaan didalangi pemimpin kerajaan Perikatan Nasional setelah mereka gagal "mengugut" dan "merasuah" pemimpin pembangkang.

"Saya malam ini ingin nyatakan bukan sahaja penafian, tetapi ternyata, selain menafikan, ia menunjukkan betapa gundah-gulananya pimpinan negara ini mencari apa saja tipu helah, ugut, beri orang rasuah, tak makan (tak dapat merasuah), maka dia sebar fitnah," katanya malam tadi. 

Untuk rekod di sebalik pertentangan dan perbezaan parti Ahmad Zahid adalah bekas pengikut Anwar semasa ahli parlimen Port Dickson itu menjadi pemimpin Umno sebelum dipecat pada 1998.

Malah ketika Umno bergelora dengan krisis dalaman membabitkan Anwar, Ahmad Zahid - atas kapasitinya sebagai ketua pemuda parti itu - pernah berucap secara lantang mengecam pihak pimpinan dalam perhimpunan agung mereka.

Menurut Annuar sebagai orang yang "amat dekat" dengan Ahmad Zahid serta Anwar, tidak sukar untuknya membuat pengecaman justeru begitu yakin suara yang dirakam itu adalah tulen.

"(Beza) Suara orang lain yang berlakon dan sebenar tu saya rasa saya cam dan - terus-terang saya saya pasang lebih 10 kali malam tadi - saya yakin 100 peratus itu adalah suara tulen, bukan dibuat-buat," katanya.

Ahli parlimen Ketereh dia sebenarnya cuba mengelak daripada memberi komen kerana menyedari kedudukannya dalam Umno sekarang adalah orang terpinggir serta terbuang.

Jika bersuara, katanya, kebencian itu akan bertambah lagi sementelah dia dilihat lebih banyak cenderung kepada Bersatu.

Justeru kata Annuar Majlis Tertinggi Umno perlu mengambil tanggungjawab dalam isu berkenaan dengan mengutamakan parti berbanding hal-hal lain.

"Saya fikir orang politik kena jujur dan hendaklah berani. Kalau kita (sudah) lakukan sesuatu, berikan penjelasan tanpa (perlu) untuk menafikan dan kemudian cuba menuduh pula orang lain," katanya.

Lihat Komen
ADS