Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Liu jawab kontroversi ucapan ‘DAP tak boleh cairkan kecinaannya’
Diterbitkan:  Apr 13, 2021 1:29 PM
Dikemaskini: 6:57 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Selangor Ronnie Liu menepis kritikan rakan seperjuangannya Tony Pua dan Hannah Yeoh susulan kenyataan kontroversinya supaya DAP tidak "mencairkan kecinaannya" untuk meraih sokongan Melayu.

Liu berkata Pua dan Yeoh telah menyalahtafsirkan kenyatannya dalam pelancaran buku veteran DAP Liew Ah Kim di Klang pada Ahad.

“Ucapan asli saya dalam bahasa Mandarin.

“Yeoh dan Pua tafsiran sendiri dan prejudis terhadap saya dan mula hentam saya,” kata Liu tanpa menghuraikan maksud salah faham itu,” katanya.

Terjemahan ucapan itu adalah seperti berikut:

“DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.

"Kita harus memelihara budaya parti, serta semangat perlembagaan parti, perjuangan politik pluralistik dan demokratik.

"DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina.

"Kamu tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dengan pendekatan ini.”

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dikritik Pua dan Yeoh dengan Pua menyifatkan Liu sebagai "cauvinis Cina yang tidak diperlukan parti.”

Ahli Parlimen Damansara itu berpendapat kenyataan Liu itu tidak peka terhadap falsafah DAP, merujuk kenyataan Liu yang menggesa parti mereka berpegang teguh pada imej "kecinaan" dan pada masa sama menggelar parti itu sebagai parti berbilang kaum.

Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut pula berkata pendirian Liu itu tidak mewakili dirinya, sambil melihat bahawa ia merupakan “pemikiran sempit dan toksik”.

Liu memberitahu Malaysiakini bahawa menggambarkan dirinya sebagai cauvinis Cina adalah tidak adil.

"Bagi saya, DAP adalah berbilang kaum, tetapi untuk meningkatkan penglibatan terhadap kaum lain tidak bermaksud untuk mengurangkan kecinaan kita, tetapi perlu untuk tingkatkan elemen kemelayuan, keindiaan, keibanan atau kekadazan kita.

"Kita harus menambah unsur kemelayuan, tetapi tidak dengan mengorbankan elemen kecinaan kita," katanya.

Sambil mengatakan bahawa dia senang bekerjasama dengan seluruh lapisan masyarakat, Liu memuat naik gambarnya memakai baju Melayu berwarna biru muda dengan ucapan “Salam Ramadan daripada Ronnie Liu.”

"Saya memakai baju Melayu sejak Tingkatan Enam. Saya tinggal dan belajar di asrama yang majoritinya pelajar Melayu," katanya menyorot ketika dia berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud di Raub, Pahang.

Pada masa sama, DAP sedang bersiap siaga untuk pemilihan parti pada bulan Jun.

Lihat Komen
ADS