Beberapa dokumen berhubung urusniaga anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerajaan semasa pemerintahannya sedang disebarkan di Internet bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu "cakap tak serupa bikin" apabila beliau mengkritik pembabitan Scomi Berhad dengan projek-projek kerajaan.

Scomi adalah syarikat yang dikuasai oleh anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikritik oleh Dr Mahathir kerana banyak menerima projek kerajaan sejak Abdullah mengetuai kerajaan.

Salah satu dokumen yang sedang disebar di lamanweb atau " blog " pro-Umno itu ialah surat persetujuan untuk melantik Opcom Sdn Bhd sebagai pembekal fiber optik bernilai RM214.2 juta kepada Telekom Malaysia Berhad (TM).

Opcom adalah syarikat yang dikuasai oleh anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz. Anak keempat bekas Perdana Menteri itu adalah Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Opcom.

Menurut surat yang mempunyai "letterhead" Kementerian Kewangan bertarikh 7 Oktober 2003 itu, kontrak tersebut diberikan secara rundingan terus, bukan melalui tender terbuka.

Surat yang bertanda "sulit" itu dikeluarkan oleh bahagian pengurusan perolehan kerajaan, Kementerian Kewangan dan ditujukan kepada Setiausaha lembaga tender TM.

Opcom mendapat kontrak mengeluarkan, membekal dan menghantar fiber optik selama tiga tahun itu di bawah program vendor TM.

Tangkis serangan

Dokumen kontrak fiber optik ini mula tersebar di Internet sejak 15 September lalu. Malaysiakini telah menghubungi TM dan Kementerian Kewangan untuk mendapat pengesahan tentang kesahihan dokumen itu, tetapi gagal.

Menurut sumber, penganugerahan tender kepada Opcom itu jelas menunjukkan adanya unsur-unsur nepotisme kerana Dr Mahathir adalah juga Menteri Kewangan ketika itu.

Kata sumber itu lagi, beberapa dokumen lain membabitkan perniagaan anak Dr Mahathir yang lain seperti Mirzan dan Mokhzani serta saudara-saudara terdekat dan rakan-rakannya juga dikatakan akan disebarkan secara berperingkat-peringkat bagi menangkis segala "serangan" terhadap Abdullah.

Antaranya membabitkan urusniaga dengan Petronas, penswastaan perkhidmatan hospital dan pengangkutan.

Penyebaran surat itu juga bertujuan menunjukkan Dr Mahathir menipu apabila beliau mendakwa anak-anaknya "tidak mendapat projek kerajaan" sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini Dr Mahathir telah menuduh Abdullah seorang "penipu" kerana dalam wawancara dengan TV3 baru-baru ini Perdana Menteri mendakwa Scomi tidak mendapat kontrak kerajaan kerana sebahagian besar operasinya adalah di luar negara.

"Tujuan penyebaran dokumen perniagaan membabitkan anak-anak dan kroni Dr Mahathir juga untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa apapun kontrak yang diperolehi oleh Scomi adalah melalui cara yang betul, bersaing dalam tender terbuka sedangkan Mukhriz mendapat kontrak secara rundingan terus," kata sumber itu lagi.