Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno, PKR, Amanah gesa k'jaan umum moratorium, bantuan khas segera

Tiga ketua pemuda dari Umno, Amanah dan PKR menggesa kerajaan agar mengumumkan pakej bantuan khas termasuk moratorium pinjaman bank kepada rakyat susulan pengumuman ‘total lockdown’ malam semalam.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki yang mengulangi gesaan itu berkata, banyak sektor ekonomi terjejas sepanjang penutupan selama dua minggu itu.

“Juga untuk dilaksanakan i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan arahan khas menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi bank dan kewangan memberikan Moratorium 2.0 selama 3-6 bulan tanpa caj tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.

I-Sinar dan I-Lestari merupakan program yang membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan caruman mereka.

Malam tadi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun ini.

Sementara itu Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kerajaan harus berhenti memberi alasan bahawa pelaksanaan moratorium akan menjejaskan bank-bank yang terlibat.

Dia juga menegur Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya tidak hanya mengutamakan kepentingan bank-bank tetapi perlu berasa empati dengan rakyat yang bergelut setiap bulan untuk membayar ansuran kereta, rumah serta pinjaman lain.

“Jangan bagi alasan kerajaan tak ada duit, sebab rakyat takkan percaya. Hentikan segera projek-projek dan perolehan yang tak perlu dan membazir," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir yang turut senada dengan Shazni berkata kerajaan sewajarnya mengurangkan beban rakyat dengan mengumumkan segera moratorium automatik.

“Juga bantuan khusus untuk anak-anak muda yang terikat dengan komitmen kewangan seperti pinjaman pelajaran, pinjaman rumah pertama (terutamanya yang masih dalam pembinaan) dikecualikan caj faedah sepanjang tempoh moratorium,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu katanya kerajaan juga perlu mengumumkan program subsidi upah dan bantuan kepada peniaga-peniaga kecil.

Pada 11 Mei lalu, Bank Negara berkata moratorium pinjaman menyeluruh mungkin bukan penyelesaian terbaik bagi peminjam, sebaliknya mereka harus berunding dengan pihak bank untuk membantu memenuhi obligasi hutang mereka.

Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata semua bank  mempunyai pelan bantuan pembayaran termasuk moratorium pinjaman bersasar dan ia dapat ditawarkan kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan.

Peminjam juga katanya boleh menggunakan pelbagai saluran yang disediakan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bulan lalu berkata kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan lain.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion, Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion, PKS Prihatin Tambahan (RM10 bilion), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion), pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin bernilai RM10 bilion dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion.


Lihat Komen
ADS