Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
TUDM pintas 16 pesawat tentera China 'ceroboh' ruang udara Malaysia
Diterbitkan:  Jun 1, 2021 7:03 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Penerbangan mencurigakan 16 pesawat tentera udara China dikesan di ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu semalam, lapor Bernama.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dipetik berkata insiden pesawat tentera udara China masuk ruang udara negara merupakan perkara serius kepada ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.

Insiden kemasukan pesawat tentera China itu berlaku menjelang Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-63 yang disambut hari ini.

Sementara itu, Utusan Online melaporkan Ackbal berkata pesawat China telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura sebelum memasuki ruang udara negara serta Kota Kinabalu.

“Mereka seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

“Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,” katanya.

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu, jelasnya.

Apabila arahan berkenaan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional, TUDM kata Ackbal melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 petang untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. 

"Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara dalam laluan penerbangan (Airways) di Kota Kinabalu,” katanya.

Kata Ackbal lagi insiden tersebut telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

Kementerian Pertahanan juga telah memaklumkan insiden itu kepada Kementerian Luar Negeri.

Pada tahun lalu, Laporan Ketua Audit Negara (KAN) Siri 3 mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Pla) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Ketua audit negara juga mengambil maklum kerajaan China tidak menghiraukan nota bantahan berhubung pencerobohan itu.

Laporan itu berpendapat isu pencerobohan China merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Lihat Komen
ADS