mk-logo
Berita
Hishammuddin: M'sia akan keluar nota bantahan, panggil duta China
Diterbitkan:  Jun 1, 2021 11:27 PM
Dikemaskini: 3:39 PM

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata Wisma Putra mengambil maklum insiden pencerobohan 16 pesawat China di ruang udara negara.

Tegasnya, Malaysia tetap teguh mempertahankan kedaulatan dan maruahnya.

"Berdasarkan laporan yang diterima daripada TUDM, Kementerian Luar akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik terhadap pencerobohan itu kepada kerajaan Republik Rakyat China.

"Kementerian juga akan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia untuk memberikan penjelasan mengenai pelanggaran terhadap ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat tentera udara PLA itu.

"Selain itu, saya juga akan menyampaikan keprihatinan serius Malaysia mengenai perkara itu kepada rakan sejawat saya di China," katanya pada satu kenyataan malam ini.

Hishammuddin berkata pendirian Malaysia dalam hal ini jelas iaitu mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak bermaksud akan menjejaskan keselamatan negara.

Semalam, TUDM memintas 16 pesawat tentera China yang terbang di ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu.

Insiden itu berlaku menjelang Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-63 yang disambut hari ini.

Panglima TUDM, Jeneral Ackbal Abdul Samad berkata insiden pesawat tentera udara China masuk ruang udara negara merupakan perkara serius kepada ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.

Kata Ackbal lagi insiden tersebut telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

Lihat Komen
ADS