NGO akan bantu vaksinasi dari rumah ke rumah
NGO akan dilibatkan dalam membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan vaksinasi Covid-19 dari rumah ke rumah.
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan berkata, mereka bersama-sama persatuan perkhidmatan komuniti yang lain akan memberi tumpuan kepada mereka yang tidak dapat ke pusat pemberian vaksin (PPV).
"Inisiatif jangkauan vaksin ini akan melibatkan program vaksinasi rumah ke rumah individu yang amat uzur, terlantar serta individu kelainan upaya (OKU) - termasuk pesakit kanser dan yang mengidap penyakit serius - yang tidak membolehkan mereka pergi sendiri untuk vaksinasi di PPV," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.
Mereka berkata, sumber kewangan dan sukarelawan akan ditumpukan untuk tujuan itu demi membantu negara ketika diperlukan.
"“Sepanjang pandemik Covid-19, kami telah gigih bertungkus-lumus untuk memastikan bahawa pesakit dengan penyakit kronik, termasuk kanser, telah dapat terus menerima penjagaan dan perawatan yang diperlukan melalui pelbagai inisiatif yang telah kami jalankan.
"Apabila KKM menghubungi kami untuk membantu dalam inisitatif vaksinasi ini, kami tidak teragak-agak untuk membantu kerana menyokong penuh segala usaha vaksinasi negara akan membantu seluruh negara kembali pulih secepat mungkin,” kata Presiden President Persatuan Kanser Kebangsaan Dr Saunthari Somasundaram.
Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan Roslizwati Md Ali pula berkata, mereka telah menberi sokongan dalam menangani Covid-19 dalam pelbagai cara, antaranya menyediakan peralatan dan keperluan perubatan di hospital, dan bersedia untuk membantu dalam program vaksinasi.
"Menyokong usaha vaksinasi, yang merupakan antara keperluan terpenting negara tatkala ini, adalah sesuatu yang pihak kami sentiasa sedia dipanggil untuk berkhidmat," katanya.
Sejak bulan lalu, kerajaan berusaha untuk meluaskan usaha vaksinasi Covid-19, di tengah-tengah kritikan yang ia terlalu memberi tumpuan terhadap PPV mega.
Sejak itu, projek perintis untuk menguji vaksinasi pandu lalu dan unit vaksinasi bergerak telah dilancarkan.
Kerajaan juga sedang berusaha untuk turut melibatkan doktor am (GP) walaupun terdapat beberapa masalah.

