Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Generasi yang hilang, ini yang kami risaukan

Malaysia berada dalam keadaan yang begitu sukar. Rakyat tersudut di kedudukan yang amat sukar dan perit menghadapi hari-hari mendatang dengan kesan pandemik, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik. Rakyat amat-amat mendambakan permasalahan pandemik dan ekonomi ditangani secara baik dan kembali pulih segera

tanpa mempedulikan siapa yang memerintah negara.

Tambah membimbangkan generasi pewaris negara berada dalam keadaan yang merungsingkan dengan keadaan masa depan mereka yang kelam. Banyak laporan antarabangsa termasuk World Bank menyebutkan bahawa kita berhadapan dengan situasi ‘generasi yang hilang’ atau lost generation.

Lihatlah ke mana nasib adik-adik dan anak-anak kita di sekolah khususnya yang baru masuk alam persekolahan dan di prasekolah yang bergelut dengan keadaan pembelajaran yang sukar. Begitu juga yang kehilangan motivasi, masalah kefahaman dan pelbagai lagi masalah pembelajaran daripada sekolah rendah sehingga ke institut pengajian tinggi dan kemahiran yang menyebabkan kita akan kehilangan satu generasi pewaris.

Setakat ini, menurut Dr Anuar Ahmad, pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam salah satu temu ramah beliau di Awani, masih tiada kajian impak terhadap kesan Covid-19 kepada pembelajaran pelajar di sekolah sedangkan kita memerlukan data di akar umbi untuk menangani kesenjangan pendidikan secara berkesan.

Dr Nazrul dan Dr Nurul (2021) melaporkan keadaan kesihatan mental yang membimbangkan dalam kalangan generasi muda dalam makalah ilmiah mereka bertajuk The Fear of Covid-19 among Malaysian Youths.

Tulisan ini melaporkan bahawa, “The people’s anxiety worsened when they saw the case figures, especially the death cases displayed by the media”.

Tulisan berdasarkan kajian ini juga merumuskan bahawa pandemik Covid-19 mencetuskan ketakutan dan kegusaran kepada rakyat dan belia Malaysia khususnya apabila melihat kenaikan angka pesakit dan angka kematian setiap hari. Pelajar berasa tertekan dan anxiety disebabkan kesempitan kewangan, kaedah pembelajaran yang sukar, ketidakpastian pencapaian akademik dan kerjaya masa depan.

Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Program Kemahiran Insaniah (Prokens) mengesahkan bahawa kebanyakan belia yang dilatih dalam program kebolehpasaran belia ini bimbang akan kerjaya dan masa depan mereka disebabkan Covid-19. Kesemua ini perlu diberikan perhatian dan memerlukan tindakan tuntas. Harapan dan jalan keluar harus ditunjukkan segera kepada mereka selain menyuntik daya tahan dan daya juang untuk bangkit.

Kemelesetan sosial

Covid-19 menyebabkan kemelesetan sosial atau social recession sehingga dikhuatiri menyebabkan lebih ramai belia yang hilang harapan, membunuh diri, keluarga muda bercerai dan peningkatan keganasan rumahtangga.

Dengan kes yang kekal meningkat, Covid-19 juga tidak mengenal usia, mula meragut nyawa kanak-kanak dan anak muda dan ini menambah lagi anxiety. Kelihatannya Malaysia kehilangan aset dan bakat muda dalam segenap sudut.

Covid-19 meragut banyak impian anak muda meneruskan kerjaya, pembelajaran dan kesejahteraan kehidupan. Generasi yang hilang perlukan harapan baharu bagi menghidupkan impian dan masa depan mereka.

Kegawatan ini memerlukan tindakan bersepadu. Dalam konteks politik, ia memerlukan kolaborasi dwipartisan bahkan cross-partisan. Parlimen harus bersidang sama-ada secara fizikal mahupun hybrid bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian tuntas demi rakyat dan masa depan pewaris negara ini. Peguam Salleh Buang menyebut dalam ruangan pojoknya di NST ketika mengulas implementasi persidangan hybrid oleh parlimen Kanada:

“The lesson for us is that while Canada took just a few months to implement a hybrid session of its House of Commons, we took a much longer time to proceed along that direction. Nevertheless, better late than never”.

Masih belum terlambat, lupakan seketika perbezaan walaupun diakui tidak mudah bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan sistem kesihatan. Kebimbangan rakyat adalah jangan ulangi Parlimen sebagai tempat bercakaran (sekurang-kurangnya buat seketika) yang akan menyumbang kepada defisit kepercayaan anak muda kepada sistem demokrasi negara.

Jiwa besar ini pastinya akan diingati oleh generasi muda kerana jika perkara ini benar benar berlaku, kalian akan dikenang dalam lipatan sejarah kerana menyalakan obor harapan kepada the lost generation ini untuk keluar dari lubuk kelemasan dan terowong kegelapan. Bantulah mereka!

MBM yakin Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang akan membuat keputusan berhikmah, saksana dan bijak selepas pertemuan dengan ketua-ketua parti tanah air demi masa depan Negara. Malaysia perlukan solidariti semua, whole government, whole opposition, whole society and whole youth untuk keluar daripada tribulasi besar ini.


JUFITRI JOHA ialah presiden Majlis Belia Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS