Awang Adek dakwa Asli ada motif tersembunyi
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli) mengenai orang Melayu yang dikatakan sudah menguasai 45 peratus kekayaan ekonomi negara mungkin mempunyai motif tersembunyi.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli) mengenai orang Melayu yang dikatakan sudah menguasai 45 peratus kekayaan ekonomi negara mungkin mempunyai motif tersembunyi.
Katanya, mereka enggan menerima hakikat bahawa pencapaian orang Melayu kini masih 18 peratus.
Menurutnya, mereka mungkin tidak senang dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperbaharui oleh kerajaan dengan sasaran pemilikan ekuiti orang Melayu ke tahap 30 peratus.
"Saya nampak ada kumpulan yang tidak senang dengan dasar untuk memastikan Bumiputera mesti menguasai 30 peratus kekayaan negara," katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Perupuk di Bachok.
Beliau mengulas kajian Asli bertajuk "Pengagihan Ekuiti Korporat Arah Aliran Lalu dan Polisi Masa Depan" yang mendakwa kaum Bumiputera sudah mencapai ekuiti ekonomi dalam negara sehingga 45 peratus, melebihi sasaran 30 peratus yang ditetapkan dalam DEB.
Kekuatan dalaman
Laporan mengenai hasil kajian Asli itu telah disiarkan oleh malaysiakini pada 23 September lalu dan telah mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.
Menurut laporan Bernama, Awang Adek yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata sepatutnya semua pihak menerima hakikat itu yang dibuat oleh kerajaan mengikut ukuran tepat yang menyeluruh dan telah diterima pakai oleh pakar-pakar ekonomi di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata kerajaan tetap bertegas untuk melaksanakan DEB walaupun ia mengambil masa yang lebih lama untuk menyeimbangkan jurang pendapatan antara kaum di negara ini bagi membina asas kekuatan dalaman negara pada masa depan dalam menghadapi dunia global.
Katanya jika kajian Asli diterima pakai, ia boleh membantutkan usaha kerajaan untuk melaksanakan pembahagian kekayaan negara berasaskan hak sama rata tanpa meminggirkan mana-mana kaum.
Selain itu beliau berkata ia juga boleh menggagalkan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh iaitu walapun mempunyai rakyat yang berbilang kaum, mereka dapat hidup dalam suasana yang aman damai dan berkongsi kekayaan.

