Klon AP: Senator mahu saman kumpulan akhbar NSTP
Senator Datuk Muhammad Abdul Gani akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga akhbar di bawah kumpulan New Straits Times Press (NSTP) yang baru-baru ini mendakwanya terbabit dalam aktiviti mengklon permit import (AP) kereta.
Senator Datuk Muhammad Abdul Gani akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga akhbar di bawah kumpulan New Straits Times Press (NSTP) yang baru-baru ini mendakwanya terbabit dalam aktiviti mengklon permit import (AP) kereta.
Beliau berkata, tindakan saman malu itu perlu diambil bagi membersihkan namanya kerana menurutnya berita berkenaan adalah tidak benar dan memfitnah dirinya.
Ketiga-tiga akhbar berkenaan ialah Berita Harian , Harian Metro dan New Straits Times .
"Saya telahpun mengarahkan peguam menguruskan hal ini secepat mungkin. Berita yang berunsur fitnah itu telah menjatuhkan imej dan nama baik saya.
"Walaupun berita berkenaan tidak menyebut nama saya tetapi di kalangan ahli Dewan Negara sekarang, cuma saya seorang sahaja yang menjalankan perniagaan mengimport kereta. Jadi tentulah berita itu ditujukan kepada saya," jelasnya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Semalam akhbar-akhbar berkenaan menyiarkan berita yang memetik sumber-sumber bahawa seorang Senator bergelar "Datuk" bersama dengan anaknya terbabit dalam aktiviti membuat dan menjual AP yang diklon sejak tiga tahun lalu hingga memperolehi keuntungan RM500,000 sebulan.
Proses undang-undang
Muhammad dalam reaksinya terhadap berita tersebut telah tampil mengakui bahawa ahli perniagaan merangkap Senator bergelar "Datuk" itu adalah dirinya. Beliau bagaimanapun menafikan terbabit dalam aktiviti mengklon AP itu kerana sudah lama tidak menguruskan syarikat pengedar kereta import berkenaan.
Beliau bagaimana berkata anaknya yang menguruskan syarikat tersebut dan menandatangani AP milik syarikat berkenaan.
"Tetapi itu urusan anak saya, tidak membabitkan saya. Kastam sedang menjalankan siasatan dan saya serahkan kepada kebijaksanan mereka mengendalikannya.
"Kalau betul anak saya bersalah, kita serahkan kepada proses undang-undang menentukannya," tambah beliau.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah bahagian Pencegahan Kastam, Mohamed Adnan Ariffin di Putrajaya pagi tadi bagi mendapatkan kepastian tentang sumber berita berkenaan.
"Saya mahu tahu sumber berita itu sama ada ia dari sumber rasmi atau tidak, dan pihak Kastam menafikan menjadi sumbernya.
"Saya perlu pastikan perkara ini sebab kalau ia berpunca dari Kastam, saya terpaksa turut menyaman jabatan itu. Memandangkan sumbernya bukan dari Kastam, saya hanya akan menyaman akhbar-akhbar berkenaan ujarnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.