Seorang ahli akademik mendakwa, laporan kiraan ekuiti bumiputera yang dilakukan oleh Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli) tidak tepat kerana berlaku pengiraan dua kali terhadap pemilikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menghitung peratusan pemilikan bumiputera dalam pasaran modal Malaysia.

Pensyarah bidang perakaunan UiTM Shah Alam, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim berkata, sesiapa yang membaca seluruh laporan itu akan dengan mudah dapat mengesan "kesilapan" tersebut.

Beliau mengulas kajian yang bertajuk Pengagihan Ekuiti Korporat Trend Masa lalu dan Dasar Akan Datang yang telah merumuskan bahawa sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru telah melebihi matlamatnya.

Kajian tersebut menganggarkan angkanya di sekitar 45 peratus, berdasarkan pada perangkaan Bursa Malaysia bagi bulan September 2005.

Laporan hasil kajian tersebut telah mencetus kontroversi dan dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin tinggi Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berikutan itu, Presiden Asli, Mirzan Mahathir, dalam satu kenyataan Selasa lalu, mengakui laporan institut tersebut mengenai ekuiti korporat bumiputera itu tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.

Prof Dr Muhd Kamil menjelaskan, setelah membaca seluruh laporan itu, didapati pengiraan yang dilakukan oleh Asli cukup mudah, seperti berikut:

Jumlah Nilai Pasaran Bursa Malaysia pada 30 September 2005 = RM715.4 bilion. Daripada jumlah tersebut, nilai pasaran GLC dianggarkan RM260 bilion.

Sasaran 30 peratus Bumiputera daripada pasaran modal tempatan pula (30% x RM715.4B) = RM214.6 bilion.

Metodologi Asli

Bagaimana Asli mengira yang pegangan Bumiputera melepasi RM214.6 bilion? Menurut Prof Dr Muhd Kamil begini metodologinya:

EPU melaporkan yang pegangan Bumiputera dalam pasaran modal adalah di sekitar 20 peratus. Jadi (20% x RM715.4 bilion = RM143.08) dicampur dengan GLC yang diandaikan 70 peratus diperuntukkan kepada Bumiputera (70% x RM260 bilion (nilai pasaran GLC) = RM182 bilion), maka jumlah pegangan ekuiti Bumiputera dikatakan (RM143.08 + RM182.00 = RM325.08), jauh melepasi sasaran 30%, iaitu RM214.6 bilion.

Ringkasannya:

Laporan EPU (20%) = 20% x RM715.4b = RM143.08b

70 peratus GLC = 70% x RM260b = RM182b

Jumlah pegangan bumiputera = (RM143.08b + RM182b) = RM325.08b

Peratus pegangan= 325b/715.4b = 45.4%

"Sekali baca saya sudah dapat mengesan kesilapan pengiraan berganda. Sama ada ia sengaja dilakukan atau kerana daif dalam matematik, terlalu sukar untuk dibuktikan. Apatah lagi laporan ini dikatakan telah dijalankan oleh bijak pandai dalam bidang masing-masing," jelasnya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Prof Dr Mohad Kamil berkata, bagi mengelakkan pengiraan berganda, sepatutnya jumlah ekuiti yang dikuasai GLC ditolak terlebih dahulu daripada keseluruhan jumlah pasaran modal bagi mendapatkan jumlah pemilikan bumiputera yang tepat.

Sepatutnya begini:

Laporan EPU = 20% x (RM715.4b - RM260b) = RM91.08b

70 peratus GLC = 70% x RM260b = RM182b

Jumlah pegangan Bumiputera = RM273.08b

Peratus pegangan = 273.08b daripada 715.4b = 38%

"Benar hasil kiraan di atas masih kelihatan melebihi 30 peratus. Tetapi mengandaikan GLC sebagai milik bumiputera adalah tidak tepat.

"GLC adalah milik kerajaan. Hasil kekayaan milik kerajaan adalah milik kerajaan. Ia bukan milik bumiputera. Meletakkan nilai 70 peratus adalah satu niat yang ingin menjustifikasikan keinginan awal laporan ini disediakan," tambahnya.

Beliau juga menyatakan, tindakan meletakkan nilai 70 peratus satu pemboleh-ubah penting yang menentukan hasil akhir tanpa pengiraan dan hujah-hujah saintifik sangat-sangat meragukan.

"Apakah niat mereka?" persoal Prof Dr Muhd Kamil lagi.

Dr Muhd Kamil Ibrahim kini menjadi pembantu khas kepada Naib Chanselor UiTM dan mempunyai blog beliau sendiri.