Isu ahli MPK: Khir dianggap tidak bertanggungjawab
Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mempertahankan perlantikan "anak beranak" ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Kelang, Datuk Zakaria Mat Deros sebagai ahli Majlis Perbandaran Kelang (MPK) adalah satu tindakaan tidak bertanggungjawab, kata para pemimpin pembankang hari ini.
Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mempertahankan perlantikan "anak beranak" ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Kelang, Datuk Zakaria Mat Deros sebagai ahli Majlis Perbandaran Kelang (MPK) adalah satu tindakaan tidak bertanggungjawab, kata para pemimpin pembankang hari ini.
Menurut mereka, walaupun perlantikan itu dibenarkan oleh undang-undang dan peraturan kerajaan negeri namun ia salah di sisi moral.
Ketua PAS kawasan Gombak, Dr Hatta Ramli berkata; "Memanglah dari segi undang-undang ia tak salah, tapi dari segi imej dan moral, ia adalah satu yang tidak wajar.
"Undang-undang itu dibuat oleh para pemimpin kerajaan negeri Selangor, mereka sepatutnya mengunakan budi bicara. Apabila timbul amalan kronisme dan nepotisme sepert ini, mereka patut buat pengecualian walaupun anak dan menantu Zakaria layak menduduki jawatan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr Hatta berkata, cara Menteri Besar Selangor itu menangani isu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan amat mengecewakan lebih-lebih lagi ketika Perdana Menteri giat mempromosi soal ketelusan dan integriti kerajaan.
Tokoh PAS itu mengulas kenyataan Dr Khir kelmarin yang mengatakan perlantikan Zakaria, anak lelakinya yang juga Pemangku Ketua Pemuda Umno bahagian Kelang, Zainuri dan menantunya yang menjadi Ketua Puteri Umno bahagian berkenaan, Roselinda Abdul Jalil sebagai ahli majlis MPK tidak salah selagi mereka tidak menyalahgunakan kedudukan.
Katiga-tiga mereka dilantik ke jawatan tersebut di atas kapasiti mereka sebagai pemimpin Umno bahagian berkenaan.
Bagaimanapun pemimpin pembangkang, aktivis sosial dan persatuan di Selangor mempertikaikan perlantikan "tiga beranak" itu sebagai ahli MPK pada satu masa kerana ia menggambarkan amalan kronisme dalam pentadbiran kerajaan tempatan di negeri itu.
Ini merupakan kali kedua gejala kronisme dalam MPK berlaku selepas "anak beranak" Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Tan Sri Onn Ismail "menguasai" MPK satu ketika dulu.
Lantik kalangan profesional
Kontroversi yang sama pernah berlaku apabila anak Onn, Datin Paduka Noor Hayati, bekas suaminya, Suffian serta menantu Onn, Faizal Abdullah menjadi ahli majlis MPK pada satu masa yang sama.
Bekas ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Azmin Ali pula menyifatkan kenyataan Dr Khir itu sebagai tidak wajar.
Katanya, kenyataan Menteri Besar Selangor itu menunjukkan beliau tidak peka pada kritikan masyarakat yang mahu amalan kronisme dan nepotisme dihapuskan dalam perlantikan ahli majlis PBT.
"Melantik beberapa anggota keluarga pada satu masa sebagai ahli majlis PBT adalah tidak wajar kerana ia boleh menjurus kepada perbuatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah," ujarnya.
Azmin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Nasional (PKR) berkata, jika kerajaan negeri mahu menjadi lebih bertanggungjawab, mereka sepatutnya melantik ahli majlis PBT dari kalangan profesional dari pelbagai latar belakang.
"Hanya dengan cara ini pengurusan PBT dapat dipantau dan dijalankan dengan berkesan dan rakyat yang membayar cukai akan dapat menekmati mutu perkhidmatan yang lebih baik,"ujarnya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu segera menghentikan perlantikan ahli majlis dari kalangan orang politik kerana telah terbukti sistem itu merugikan rakyat.
"Kerajaan sepatutnya mengadakan pilihanraya umum pihak berkuasa tempatan. Hanya dengan cara ini rakyat akan berpeluang menentukan bentuk pucuk pimpinan PBT yang mereka kehendaki," tambahnya.

