Lembaga Disiplin Umno telah memulakan siasatan awal terhadap aduan lima perwakilan Umno Kubang Pasu bahawa berlaku politik wang dan campurtangan orang luar serta ugutan dalam proses pemilihan perwakilan bahagian tersebut pada 9 September lalu.

Menurut sumber, kelima-lima mereka telah ditemui oleh wakil Lembaga Disiplin Umno, Datuk Abu Zahar Ujang di Alor Star pada 11 dan 12 Oktober lalu.

Kelima-lima ahli mereka ialah Ibrahim Ariffin, Aminuddin Omar, Ismail Taib, Nor Mohamad Darus dan Rozi Razak.

Pada 29 September lalu kelima-lima pengadu telah menyerahkan aduan mereka kepada Setiausaha Lembaga Disiplin Umno, Jamaluddin Aziz di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur.

Kata sumber itu lagi, dalam 'soalsiasat' dengan Abu Zahar itu, kelima-lima pengadu telah diminta menceritakan apa sebenarnya berlaku sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pemilihan.

Dari siasatan awal itu, Abu Zahar, bekas ahli Parlimen Umno bagi kawasan Kuala Pilah akan menyiapkan laporan untuk dikemukakan kepada panel lembaga disiplin.

Enggan mengulas

Kata sumber itu lagi, berdasarkan laporan berkenaan, lembaga disiplin akan memutuskan sama ada siasatan kes itu akan dipanjangkan dengan memanggil kelima-lima pengadu serta saksi ke Kuala Lumpur pula.

Bagaimanapun Abu Zahar yang dihubungi hari ini enggan mengulas pembabitannya dalam siasatan kes ini.

Dalam pemilihan bahagian Kubang Pasu itu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperolehi 227 undi di tempat kesembilan dan gagal terpilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan. Bagaimanapun, anaknya, Datuk Mukhriz terpilih.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan tujuh orang dipilih dalam mesyuarat bahagian dan enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian.

Dr Mahathir ketika mengulas keputusan pemilihan tersebut telah mendakwa politik wang menjadi punca utama kekalahannya.

Beliau mendakwa, perwakilan telah dirasuah dengan wang RM200 yang diberikan dalam sampul surat yang turut mengandungi senarai nama perwakilan yang perlu dipilih.