Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pintu LRT kekal terbuka ketika bergerak, semua penumpang selamat
Diterbitkan:  Jul 27, 2021 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Pintu di sebuah tren transit aliran ringan (LRT) yang kekal terbuka selepas bergerak dari stesen mengejutkan penumpang, semalam.

Satu rakaman video insiden itu dimuat naik pengguna Twitter @perksofbeingsxf.

Dalam kenyataan hari ini, pengendali LRT, Rapid KL berkata insiden itu berlaku pada pukul 3.01 tengah hari melibatkan tren yang bergerak dari stesen Ara Damansara menuju stesen Lembah Subang.

"Insiden itu diketahui dengan segera oleh pusat kawalan operasi dan tren tidak lagi menangkut penumpang kurang dua minit kemudian, selepas ia tiba di stesen Lembah Subang yang berjarak 900 meter.

"Tren kemudian dihantar ke depot untuk pemeriksaan segera dan siasatan selanjutnya," kata Rapid KL.

Terdapat tujuh penumpang di dalam tren ketika insiden tersebut. Kesemuanya keluar dengan selamat.

"Rapid KL memandang serius insiden ini dan penyiasatan terperinci sedang dibuat untuk mengenal pasti punca. Pelan mitigasi yang wajar akan dilaksanakan bagi mengelakkan ia berlaku di masa akan datang," kata Rapid KL.

Pada dua bulan lalu, dua tren LRT bertembung berhampiran stesen KLCC, menyebabkan 213 penumpang cedera.

Siasatan selepas itu mendapati antara lain berlaku masalah teknikal dan kegagalan komunikasi antara pusat kawalan operasi dengan hostler (pemandu).

Lihat Komen
ADS