MP Bersatu: Ambiga, MP Amanah kini tak sokong penubuhan k'jaan bersih?
Ahli Parlimen Saratok Ali Biju menyangkal kenyataan ahli parlimen PH dan peguam, Ambiga Sreenevasan berhubung sokongan "bersyarat" Perikatan Nasional (PN) kepada Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi perdana menteri.
Ahli parlimen dari Bersatu itu mendakwa hujah yang dibuat terhadap kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semalam adalah "mengarut, tidak berasas dan tanda terdesaknya PH", susulan kegagalan gabungan itu mendapat sokongan yang cukup.
"Pertamanya, Muhyiddin berkata sokongan dengan syarat penubuhan kerajaan yang bersih (tiada individu berdepan pendakwaan jenayah dalam kabinet), pemisahan kuasa, kebebasan kehakiman dan mempertahankan sistem raja berperlembagaan.
"Hujah PH yang ia membatalkan sokongan terhadap Ismail Sabri adalah mengarut. Mana-mana gabungan yang mengambil alih kuasa di Malaysia perlu mematuhi syarat-syarat ini.
"Tiada orang, ahli parlimen dan parti yang berpemikiran wajar akan menolaknya," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Adakah PH dan Ambiga kini menentang kerajaan berih dan kebebasan kehakiman?" soalnya lagi.
Semalam, Ambiga dalam ciapan di Twitter berkata, sokongan bersyarat PN patut dikira sebagai tidak sah.
Dia mengulas kenyataan Muhyiddin berhubung sokongan 50 ahli parlimen terhadap Ismail Sabri.

Kenyataan bernada serupa dibuat oleh dua ahli parlimen Amanah, Mahfuz Omar dan Hanipa Maidin.
Mahfuz mendakwa PN memberi gambaran salah terhadap yang di-Pertuan Agong berkenaan sokongan mereka terhadap Ismail Sabri sebagai perdana menteri baru.
Hanipa pula mengkritik Muhyiddin yang menurutnya menunjukkan pendirian tidak tetap berhubung soal kerjasama dengan "kleptokrat".
"Sekarang ini dia (Muhyiddin) dan para ahli parlimen parti dia boleh juga sokong calon perdana menteri yang tak ada masalah untuk terus dengan kerajaan kleptokrat . Boleh saya tahu, ini logik jenis apa?" soalnya semalam.
Dalam pada itu, Ali mendakwa kenyataan Mahfuz, Hanipa dan Ambiga menunjukkan mereka tidak mengambil kira Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan - yang menyatakan sokongan terhadap perdana menteri diambil kira menerusi pendirian ahli Dewan Rakyat secara individu.
"Orang merasakan mereka akan mengalu-alukan sokongan PN untuk sebuah kerajaan bersih serta kehakiman yang bebas. Sebaliknya, keterdesakan mereka untuk PH menjadi kerajaan telah menyebabkan mereka menjadi serendah itu," katanya lagi.
'Apa akan terjadi jika syarat itu dilanggar?'
Ambiga dalam reaksi segeranya berkata, dia sememangnya tidak membantah penubuhan sebuah kerajaan yang bersih, tetapi pertikaiannya tentang syarat yang diberikan.
"Syarat itu bagus, sudah pasti. Tetapi ini masalahnya. Sokongan yang diberikan dengan syarat (menepati) ciri yang ditetapkan, seperti aspek integriti.
"Siapa yang tentukan jika syarat tersebut dilanggar? Dan jika PN memutuskan ia telah dilanggar, PN dikatakan akan menarik sokongan dan kerajaan jatuh, sekali lagi.
"Bagaimana ia akan membawa kepada kestabilan?" soalnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Apa yang lebih penting, katanya lagi, semua nilai-nilai itu memang sepatutnya ada pada sebuah kerajaan.
"Dan ia menunjukkan kurangnya kepercayaan terhadap calon perdana menteri untuk menegakkan nilai-nilai tersebut. Mungkin bukan itu tujuannya, tetapi ia boleh dilihat begitu," katanya lagi.

