Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PM jumpa Anwar, Guan Eng, Mat Sabu petang ini
Diterbitkan:  Aug 25, 2021 6:00 AM
Dikemaskini: 8:52 AM

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengundang pemimpin parti Pakatan Harapan ke Pejabat Perdana Menteri di Putra Perdana, Putrajaya petang ini.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, perjumpaan pada jam 2 petang ini akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri.

“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan di antara Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, dan Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri, atas jemputan Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tiada kerajaan campuran akan dibentuk dengan parti-parti pembangkang.

Namun, kata perdana menteri, kerjasama dengan pembangkang hanya melibatkan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi melalui platform Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

PH belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, tetapi Lim membayangkan bahawa DAP terbuka untuk mempertimbangkannya jika pembangkang tidak dijadikan “pak turut”.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama kemudian, keempat-empat pemimpin itu berkata pertemuan lebih sejam itu tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dan mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis penularan wabak Covid-19.

“(Ini) bagi menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

“Persetujuan bersama dicapai bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbangi tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

“Kami juga bersetuju memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks ‘keluarga Malaysia’,” kata mereka.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah sebelum ini menzahirkan pandangan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati serta berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.

Seri Paduka juga bertitah supaya mereka memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS