Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gangguan air: MP PKR, 809 pengguna saman k’jaan Selangor

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew dan seramai 809 pengguna di Selangor menyaman kerajaan negeri dan beberapa pihak lain berhubung gangguan bekalan air yang berlaku di Lembah Klang tahun lalu.

Firma guaman, Tetuan Calvin Khoo yang mewakili ahli parlimen dan penduduk berkenaan memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 April tahun ini.

Selain kerajaan negeri Selangor, 17 defendan lain yang dinamakan dalam tuntutan saman berkenaan adalah: Menteri Besar; Jabatan Saliran dan Pengairan negeri dan pengarahnya; Majlis Perbandaran Selayang; Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd; syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dan Pakar Scieno TW Sdn Bhd; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Majlis Kualiti Alam Sekeliling dan ketua pengarahnya; Jabatan Alam Sekitar dan ketua pengarahnya; Jabatan Saliran dan Pengairan dan ketua pengarahnya; Menteri Alam Sekitar dan Air; dan kerajaan pusat.

Pada Oktober tahun lalu, Tan berkata dia mahu memfailkan saman tindakan kelas berhubung gangguan bekalan air di kawasannya.

Pada 4 Januari tahun ini, Tan berkata dia dan beratus-ratus pengguna lain akan mengemukakan saman tersebut terhadap kerajaan negeri Selangor, kerajaan persekutuan dan beberapa pihak lain berhubung gangguan bekalan air yang berlarutan akibat pencemaran air di sungai-sungai besar di Lembah Klang.

Menurut salinan writ saman berkenaan, Tan dan pengguna terbabit meminta perisytiharan mahkamah bahawa syarikat Yip Chee Seng & Sons bertanggungjawab atas gangguan bekalan air pada 3 September tahun lalu.

Pada 15 September tahun lalu empat adik beradik yang merupakan ahli lembaga syarikat serta pengurus bengkel didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang berhbung pencemaran di Sungai Gong, yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada lebih 1.2 juta orang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 dan 3 Sept.

Melalui tindakan sivil ini, Tan dan pengguna lain meminta pengisytiharan mahkamah bahawa badan-badan awam (yang dinamakan sebagai defendan) bertanggung jawab atas gangguan bekalan air itu akibat kecuaian, pelanggaran tugas atau melanggar hak plaintif untuk hidup dan kebebasan diri.

Tan dan penduduk terbabit antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk daripada pihak defendan.

Tahun lalu, Tan memberitahu Malaysiakini bahawa dia mahu menyaman syarikat swasta, Pakar Scieno TW, kerana didakwa gagal memberi peringatan kepada pihak berkuasa mengenai pencemaran sungai di Selangor, yang menyebabkan gangguan bekalan air.

Pada tahun 2017, kerajaan memeterai perjanjian dengan Pakar Scieno bagi pelaksanaan Program Pengawasan Kualiti Alam Sekeliling (EQMP) untuk menyediakan pengumpulan data bagi tahap kualiti udara, sungai dan laut.

Syarikat itu mengendalikan program tersebut antara Julai 2017 dan Januari 2032 dengan kos RM846 juta.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang wakil dari Tetuan Calvin Khoo mengesahkan bahawa firma itu memfailkan saman itu bagi pihak Tan dan 809 plaintif yang lain.

Wakil firma guaman itu juga mengesahkan bahawa setelah pengurusan kes saman dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 17 September.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes dalam talian yang baru untuk memberi masa kepada 16 defendan berkenaan mengemukakan Penyataan Pembelaan terhadap saman tersebut.

Semakan e-filing mendapati dua defendan telah mengemukakan Pernyataan Pembelaan mereka iaitu Majlis Perbandaran Selayang dan Pengurusan Air Selangor.

Pada Oktober 2020, sebahagian kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sebanyak empat kali dalam tempoh sebulan. 

Sebelum itu, sebanyak 18 kejadian gangguan bekalan air berlaku antara bulan Mac dan Ogos 2020.

Lihat Komen
ADS