Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata beliau tidak berminat dan tidak sesuai untuk mengisi jawatan Menteri Besar Kelantan, sekaligus menolak spekulasi berlakunya perebutan antara beliau dengan dua tokoh lain untuk jawatan tersebut.

"Bagi diri saya, isu itu tidak timbul sama sekali. Tak perlu berebut jawatan tersebut kerana calon terpilih ditentukan oleh pucuk pimpinan PAS, bukan oleh mana-mana individu.

"Sudah banyak kali saya sebut sebelum ini yang saya tidak sesuai untuk jawatan itu, lagi pun saya tak berminat. Saya lebih suka buat kerja dan menjadi orang di belakang tabir," katanya kepada malaysiakini sebagai mengulas laporan Bernama hari ini yang mendakwa berlaku perebutan untuk menggantikan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Laporan berbentuk spekulasi itu menyebut bahawa Husam, Nik Mohd Amar Nik Abdullah (foto) dan Datuk Ahmad Yakob sedang berebut-rebut menonjolkan diri untuk menjadi pengganti Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan.

Ahmad adalah Timbalan Menteri Besar manakala Nik Mohd Amar adalah Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri.

Husam dianggap paling menonjol kerana beliau adalah Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan. Beliau juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan.

Husam dilihat umum sebagai calon paling sesuai untuk menggantikan Nik Aziz (foto) kerana sering menggantikan Menteri Besar mengendalikan kuliah agama mingguan di perkarangan Pejabat PAS Kota Bharu, selain menjadi pilihan untuk bercakap dengan media berhubung dasar-dasar kerajaan negeri.

Penonjolannya menjadi kian ketara sejak kebelakangan ini. Terbaru, beliau diamanahkan untuk mengumumkan kepada media tentang pelancaran Dinar Emas Kelantan oleh Nik Aziz pada 20 September lalu, mengetepikan tokoh yang lebih kanan daripadanya iaitu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

'Sengaja diada-adakan'

Husam menjelaskan, kehadirannya di majlis pelancaran Dinar Emas Kelantan adalah kerana projek tersebut terletak di bawah potfolionya yang menyelia halehwal kewangan dan ekonomi negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negri (Adun) Kijang itu juga menyatakan, banyak asas spekulasi tersebut tidak tepat dan ia menunjukkan isu tersebut sengaja diada-adakan oleh pihak berkenaan dengan agenda tertentu.

"Saya percaya ini usaha pihak tertentu untuk mengalih perhatian rakyat daripada kemelut yang sedang melanda Umno sekarang," ujarnya.

Laporan tersebut, antara lain, memuatkan pendapat beberapa tokoh Umno Kelantan seperti Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Alwi Che Mat (foto) dan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Husin.

Alwi percaya tokoh pilihan Nik Aziz untuk menggantikannya bukan Husam tetapi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Katanya, Nik Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri dilihat sebagai ayam tambatan Nik Aziz, berdasarkan latarbelakang pendidikan agama dan tarafnya sebagai seorang ulama.

Dali pula berpendapat, sekiranya Nik Aziz memilih Husam sebagai penggantinya, beliau jelas tidak berpegang kepada perjuangan menegakkan kepimpinan ulama yang dilaung-laungkannya selama ini.

Beberapa pemerhati politik bebas pula berkeyakinan Timbalan Menteri Besar sekarang, Datuk Ahmad Yakob tidak berpeluang untuk menggantikan Nik Aziz kerana dalam sejarah politik di Kelantan, tidak pernah seorang Timbalan Menteri Besar dapat menduduki kerusi itu.