Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abang sumpah laknat, dakwa adik mangsa gangguan seksual pendakwah terkenal
Diterbitkan:  Sep 24, 2021 1:14 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Seorang individu yang mendakwa abang kepada mangsa gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal, melakukan mubahalah (sumpah laknat) terhadap gangguan yang didakwa dialami adiknya.

Wallahi, wabillahi, watallahi, saya [bunyi tapisan] bersumpah dengan nama Allah, bahawa adik saya [bunyi tapisan] mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri, setelah [nama pendakwah berkenaan] melakukan perbuatan terkutuk melalui WhatsApp dan juga video call, kepada adik saya.

“Jika saya berdusta, ya Allah, laknatilah saya,” kata lelaki berkenaan dalam satu rakaman video,” katanya.

Video berkenaan dikongsikan pendakwah Firdaus Wong Wai Hung hari ini, yang menggerakkan kempen supaya mangsa-mangsa tampil membuat laporan polis.

Firdaus Wong 

Berdasarkan video 46 saat itu, individu berkenaan dikatakan telah membuat laporan polis berkenaan hal itu.

“Adakah [nama pendakwah berkenaan] berani bermubahalah bahawa dia tidak pernah video call dan mesej lucah pada mana-mana bukan mahram di luar?” soal satu paparan teks di akhir video berkenaan.

Firdaus sebelum ini mendedahkan sebahagian perbualan gangguan seksual yang didakwa membabitkan mangsa, antaranya membabitkan mesej WhatsApp yang dilihat sendiri dari telefon bimbit mangsa.

Kata Firdaus Wong, bukti-bukti daripada mangsa telah diserahkan kepada pihak polis.

Bahkan, semalam, Firdaus Wong yang juga pendakwah bebas, memberi bayangan bahawa akan berlakunya “sesuatu yang besar” dalam tempoh “sehari dua” berhubung kes berkenaan.

Malaysiakini sedang menghubungi pendakwah yang berdepan tuduhan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai video berkenaan.

Ini selepas polis semalam mengesahkan membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video dan mesej lucah di aplikasi Telegram yang didakwa melibatkan pendakwah itu.

Lihat Komen
ADS