Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Negara hilang RM4 bilion setahun jika syarat baru MM2H diteruskan

Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) memberi amaran bahawa negara bakal kehilangan RM4 bilion setiap tahun dari hasil pendapatan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sekiranya kerajaan meneruskan syarat baru kelayakan program itu.

“Pada 2018 (jumlah) RM4 bilion dan pada 2019, juga mencecah RM4 bilion. Tiap-tiap MM2H ini beri sumbangan kepada ekonomi kita sebanyak RM4 bilion satu tahun.

“Oleh hal demikian, MM2H ini merupakan satu sektor yang semestinya kita pertahankan dan kalau boleh kita permudahkan untuk mereka menyertai MM2H ini,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Di bawah syarat kelayakan MM2H yang baru, pendapatan bulanan minimum dinaikkan 400 peratus daripada RM10,000 kepada RM40,000.

Deposit tetap minimum juga dinaikkan daripada RM150,000 kepada RM1 juta.

Pada 14 September lalu, ketika menjawab soalan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau - PH) di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mempertahankan tujuan menambah baik daripada prosedur sedia ada bagi peserta baru yang ingin menyertai program MM2H.

Hamzah berkata peserta lama turut akan dikaji untuk tujuan keselamatan.

Pada masa sama, Nazri turut menyuarakan kebimbangannya bahawa KDN akan mengambil alih MM2H yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“KDN akan lihat keselamatan negara, saya difahamkan bahawa ini sebabnya apabila dulu diproses oleh kementerian pelancongan kemudian dihantar kepada KDN imigresen, selepas proses itu dijalankan, akhirnya imigresen menolak tanpa diberi sebab kenapa ia ditolak.

“Padahal MM2H di bawah Motac dan jalankan segala proses untuk memastikan apa perkara boleh menyebabkan peserta itu jadi threat (ancaman) kepada kita,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya memudahkan peserta baru dan peserta sedia ada dalam menyumbang kepada negara kerana sekiranya mereka tidak puas hati dengan peraturan baru berkenaan, negara akan kerugian besar apabila mereka mengeluarkan deposit atau menjual harta mereka dan membawa keluar ke negara lain.

“Saya mohon sokong, tapi minta kerajaan supaya kembalikan MM2H balik kepada asal, kepada Motac dan KDN hanya menolak permohonan itu kalau ada fakta, bukti bahawa mereka (peserta) merupakan ancaman kepada kita (negara),” katanya. 

Lihat Komen
ADS