Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar rayu parlimen bahas pendedahan Kertas Pandora
Diterbitkan:  Oct 7, 2021 12:44 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim telah mengemukakan rayuan agar parlimen membahaskan pendedahan Kertas Pandora selepas usul sebelum ini ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

"Susulan penolakan usul terkait Pandora Papers semalam, hari ini saya telah mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

"Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan.

"Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbang dengan sesegera mungkin," katanya dalam posting Facebook sebentar tadi.

Sebelum ini, Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson pada 4 Okt memberitahu dia mengusulkan supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora, yang membabitkan fail kewangan sulit.

Usul itu telah dibuat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Namun, Speakernya Azhar Azizan Harun semalam menolak usul bagi segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora.

Sebaliknya, dia berkata, perkara itu harus diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Ekonomi), ataupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Kertas Pandora yang diperoleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) mendedahkan rahsia kewangan 35 pemimpin dunia, lebih 330 ahli politik dan pegawai awam di 91 negara dan wilayah.

Antara yang disenaraikan adalah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.

Lihat Komen
ADS