Tanpa Dr M, perhimpunan Umno dijangka tetap panas
Esok perhimpunan agung Umno bermula sepenuhnya, bagaimanakah agaknya "mood" dan "suhu" perhimpunan agung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kali ini?
Esok perhimpunan agung Umno bermula sepenuhnya, bagaimanakah agaknya "mood" dan "suhu" perhimpunan agung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kali ini?
Seminggu sebelum ini, kalangan pemerhati menjangkakan satu suasana yang hangat ekoran krisis antara Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas Presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, selepas bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu akibat serangan jantung ringan, suhu yang sebelum ini dikatakan panas, telah sejuk.
Walaupun Dr Mahathir tidak menjadi perwakilan tetapi kehadirannya sebagai tetamu khas pada pagi Rabu ini amat dinanti-nantikan dan para pemerhati percaya ia boleh mempengaruhi 'mood' ahli Umno di dalam dan luar Dewan Merdeka.
Namun suratannya, Dr Mahathir terpaksa akur dengan nasihat doktor di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau sekadar dapat mengikuti persidangan menerusi televisyen di bilik rawatannya walaupun keinginannya untuk ke PWTC meluap-luap.
Adakah tanpa kehadiran Dr Mahathir ini, konfliknya dengan Abdullah akan dilupakan oleh para pembahas? Selamatkah beliau daripada kecaman atau kritikan para penyokong Abdullah?
Isyarat ke arah mana perhimpunan dibawa, akan dapat dilihat dalam ucapan Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Noraini Ahmad di perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri esok.
Perbahasan dalam perhimpunan ketiga-tiga sayap Umno itu akan mencorakkan 'mood' dan sentimen perwakilan sehingga 17 November ini.
'Tidak buang masa'
Seorang pembahas "regular" di perhimpunan agung Umno, Senator Dr Puad Zakarshi berkata, isu Dr Mahathir-Abdullah tidak akan menguasai pentas perbahasan.
Beliau percaya para pembahas Umno baik di sayap Wanita, Pemuda dan Puteri tidak akan "membuang masa" bercakap tentang isu itu.
"Untuk apa kita membuang masa bercakap mengenai perkara yang merugikan orang Melayu. Buat apa kita terperangkap dalam isu Tun (Dr Mahathir)?
"Isu Tun bukan perkara pokok dalam perhimpunan ini. Kita serahkan kepada Pak Lah (Abdullah) untuk selesaikan isu ini.
"Perhimpunan kali ini mempunyai agenda yang lebih besar. Kalaupun disentuh isu Tun....kecaman atau kritikan terhadap Tun mungkin dibuat secara kiasan," jelasnya..
Dr Puad berkata lagi: "Saya tidak menjangka Tun akan dikecam atau diperlekehkan secara terus terang oleh orang-orang Umno. Mereka masih menghormati beliau tetapi sokongan tetap diberikan kepada Pak Lah. "
Menurutnya lagi, beliau sendiri, sebagai pembahas yang akan mewakili badan perhubungan Umno Johor tidak akan menyebut apa-apa tentang tindak-tanduk Dr Mahathir terhadap Pak Lah.
Sentimen sokong Pak Lah
"Saya nak bawa isu-isu yang lebih kritikal, soal bangsa Malaysia, isu pengantar Bahasa Inggeris, meritokrasi dan projek ekonomi khususnya Pembangunan Ekonomi Johor Selatan (SJER).
"Walaupun isu meritokrasi telah dijawab oleh Pak Lah beberapa hari lalu, namun saya tetap akan membangkitkannya kerana ia amat penting bagi kepentingan orang Melayu," ujarnya.
Dr Puad juga berkata, "mood" perhimpunan kali ini akan condong kepada sentimen menyokong kepimpinan Pak Lah.
"Ini tidak dapat dielakkan tetapi ini tidak bermakna ia akan menjadi pesta memuja pemimpin," tambahnya.
Seorang pemerhati politik tempatan Ibrahim Suffian pula tidak menjangkakan apa-apa yang luar biasa dalam perhimpunan agung Umno kali ini.
Menurutnya, tidak banyak yang boleh diharapkan dari perhimpunan itu, lebih-lebih lagi kalau ada pihak mengharapkan orang Umno bersikap kritikal terhadap kepimpinan sekarang.
"Dari segi kuasa, Pak Lah masih mengawal keadaan dengan baik, beliau masih kuat dan dari segi ekonominya, Pak Lah mempunyai RMK9 sebagai agenda besarnya.
Pemikiran akar umbi
"Sukar untuk diukur sejauhmana orang Umno akan bertindak kritikal terhadap pemimpin mereka walaupun terdapat banyak perkara yang boleh mereka timbulkan," tegasnya.
Beliau bimbang apa yang ada dalam fikiran rakyat di akar umbi tidak ada di dalam fikiran para pembahas di perhimpunan itu.
"Kalau mereka membawa aspirasi rakyat, perkara-perkara seperti iklim ekonomi semasa, meritokrasi, isu pengantar bahasa Inggeris, masa depan DEB dan penguasaan ekuiti orang Melayu dan nasib orang Melayu Pulau Pinang, patut dibahaskan secara menyeluruh," tambahnya.
Ibrahim juga bersetuju dengan pendapar Dr Puad yang perhimpunan ini akan menjadi medan untuk mengulangi sokongan dan taat setia kepada Pak Lah.
"Kita perlu terima hakikat bahawa Pak Lah masih menguasai parti dan negara dengan baik walaupun pelbagai kritikan dilemparkan kepadanya.
"Saya percaya orang-orang Umno tahu siapa 'bos' mereka sekarang. Oleh itu jangan mengharapkan sesuatu yang luar biasa dari perhimpunan ini," ujarnya.
Walaupun tidak banyak boleh diharapkan dari perhimpunan ini, namun setelah Dr Mahathir dimasukkan ke hospital, tidak mengejutkan jika segala kecaman atau kritikan yang bermain di minda para pembahas sebelum ini, akan bertukar menjadi kata-kata simpati, doa panjang umur dan pujian-pujian kepada bekas bos mereka itu.
Orang Melayu terkenal dengan sikap lemah-lembut dan tolak-ansur serta bijak bersandiwara. Maka kemungkinan ini tidak boleh ditolak. Kalau ucapan dasar Presiden Rabu ini meletakkan Dr Mahathir di tempat yang tinggi, para pembahas pasti akan menyetuju kata-katanya itu.
Namun dalam seloka, pantun dan kiasan mereka mungkin terselit makna-makna yang amat tajam dan pedih untuk Pak Lah, Dr Mahathir dan tidak lupa untuk Khairy Jamaluddin.
Kerana itu perhimpunan ini tetap berbahang walaupun tanpa Dr Mahathir sebagai perwakilan atau tetamu khas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.