Seorang perwakilan Umno hari ini membidas para pemimpin besar parti itu kerana berlakon menyayangi pemimpin hingga sanggup menangis apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perletakan jawatan pada tahun 2003 tetapi kini mendiamkan diri bila berlaku krisis antara bekas Perdana Menteri itu dengan Perdana Menteri.

"Mengapa bila berlaku krisis Dr Mahathir dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tak seorang pun menteri pergi berjumpa bekas Perdana Menteri untuk selesaikan krisis ini. Sepatutnya para pemimpin ini perjumpa Dr Mahathir, tolong selesaikan masalah.

"Dulu mereka inilah yang berlakon di atas pentas, menangis dan kelam kabut bila Dr Mahathir nak bersara,"kata wakil dari Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Menurut beliau, sepanjang krisis dengan bekas Perdana Menteri itu, Abdullah seolah-olah keseorangan untuk selesaikan masalah tersebut.

" Krisis tersebut telah dibiarkan berlarutan berbulan-bulan hingga menjatuhkan imej orang Melayu dan negara. Sepatutnya semua pemimpin besar kita ini nasihatkan Pak Lah (Abdullah) dan Dr Mahathir," ujarnya yang mewakili badan perhubungan Umno Pulau Pinang..

Musa juga melahirkan kehairanan mengapa berlaku krisis antara Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri itu.

"Sebagai orang Pulau Pinang, setahu kita tidak pernah sekalipun Pak Lah memperkecilkan Dr Mahathir. Tak tahulah apa puncanya Dr Mahathir kritik Pak Lah. Tapi Pak Lah tetap senyum.

"Kita hairan sebab masa Dr Mahathir meletak jawatan dulu, dia kata akan serahkan bulat-bulat Umno kepada Pak Lah," tambahnya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bukit Mertajam turut membangkitkan soal pemilikan ekonomi bumiputera terutamanya di Pulau Pinang.

Katanya, apa yang diminta oleh bumiputera hanya 30 peratus, hak yang sewajar diberikan kepada mereka.

" Kita hanya hendak 30 peratus, yang 70 peratus lagi bolehlah diambil oleh kaum-kaum lain," ujarnya.

Sehubungan itu beliau memberi amaran kepada pihak tertentu jangan mengeksploitasi angka dan isu penguasaan ekuiti bumiputera bagi mengeruhkan keharmornian dalam negara.

" Jangan cabar kesabaran orang Melayu, jangan bermain api sebab kita tak minta banyak, hanya 30 peratus sahaja, itu memang hak kita, tak perlu dipertikaikan,"tambah.

Musa juga menyeru kerajaan menggunakan kuasa yang ada untuk memaksa syarikat-syarikat asing dan tempatan memperuntukkan 30 peratus daripada perniagaan mereka kepada bumiputera.

" Ada kuasa gunakanlah kuasa itu untuk membantu orang Melayu. Jangan orang Melayu dihina di negeri sendiri,"tegasnya.