Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar kematian Covid-19 tinggi, Lim gesa KJ beri penjelasan di Parlimen
Diterbitkan:  Oct 21, 2021 12:29 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sekali lagi menggesa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi penjelasan berhubung kadar kematian Covid-19 yang tinggi di Malaysia.

Lim yang juga anggota Parlimen Iskandar Puteri berkata, Khairy perlu menjelaskan sebab kadar kematian di negara ini lebih tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain, apabila Dewan Rakyat kembali bersidang nanti.

“Saya telah menyeru berkali-kali kepada Khairy sejak beliau angkat sumpah sebagai menteri kesihatan yang baru pada 30 Ogos untuk menjelaskan kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Malaysia, tetapi beliau masih gagal berbuat demikian.

“[...] Khairy perlu menjelaskan perkara ini kepada semua rakyat dan juga menyatakan bilakah beliau menjangkakan dapat menurunkan kadar kematian harian ini ke julat satu angka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim mendakwa, sejak Khairy menjadi menteri kesihatan bermula 30 Ogos lalu, Malaysia mencatatkan kadar tematian tertinggi dengan 11,756 kes, berbanding Indonesia (10,586 ), Filipina (7,647), Thailand (7,087), Vietnam (10,352), Myanmar (3,157), Kemboja (801), Singapura (191), Brunei (68), dan Laos (33).

Katanya, dalam tempoh itu, rekod Malaysia juga buruk jika dibandingkan dengan India yang mempunyai kira-kira 42 kali ganda penduduk berbanding Malaysia dengan 14,252 kematian berbanding 11,756 kematian dicatatkan di Malaysia.

“Apa yang lebih sukar diterima adalah apabila Malaysia juga kalah dengan negara-negara Asia yang lebih besar (populasi) dalam 51 hari yang lepas, seperti Korea Selatan yang mencatatkan 414 kematian Covid-19, Jepun dengan 2,200 kematian dan China dengan sifar kematian,” katanya lagi.

Setakat semalam (20 Okt), Malaysia mencatatkan kematian keseluruhan Covid-19 seramai 28,138 orang.

Malaysia adalah negara dengan prestasi terburuk di Asia dalam jumlah kematian Covid-19 per kapita.

Bagaimanapun ia menunjukkan trend penurunan, apabila purata 146 kematian kes Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 78 kes dalam masa tujuh hari.

Sebelum ini, Lim telah berulang kali menuntut penjelasan Khairy berhubung kes kematian yang dakwanya tinggi, sejak awal Khairy memegang portfolio menteri kesihatan.

Pada awal bulan lalu, Khairy juga dilaporkan berkata yang dia menyasarkan untuk mengurangkan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta bilangan kes kematian sebelum sempat dirawat di hospital (brought-in-dead, BID), sebagai sasaran utama sebagai menteri kesihatan.

Khairy pada bulan lepas turut menjelaskan kes kematian harian tidak memberikan gambaran sebenar kes kematian dalam masa 24 jam kerana data tertunggak atau backlog yang panjang untuk pengesahan punca kematian. 

Lihat Komen
ADS