Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO antirasuah gesa SPRM disiasat, distruktur semula
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 10:31 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) menggesa siasatan bebas terhadap dakwaan yang melibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mutakhir ini.

NGO itu merujuk dakwaan terhadap tiga pegawai kanan SPRM berkaitan penyelewengan RM25 juta yang dirampas dalam kes melibatkan bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid.

Ia juga membangkitkan satu lagi siasatan terhadap salah seorang pegawai itu atas tuduhan mengedar dadah - menyifatkannya telah mengejutkan dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Pendedahan besar ini telah melenyapkan secara keseluruhan rasa percaya orang ramai terhadap agensi yang sepatutnya bebas bebas yang diberi kepercayaan untuk melawan rasuah di negara ini.

“Apabila sebuah institusi ‘bebas’ yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah berkaitan kewangan menjadi antara yang terlibat dalam kegiatan jenayah berat yang boleh dihukum oleh undang-undang negara, ia menandakan negara berdepan sistem yang tidak berfungsi dan serius," kata C4 dalam kenyataan.

Katanya lagi, isu terbaru yang melibatkan SPRM merupakan ancaman terhadap keselamatan negara, terutama ketika mereka yang ditugaskan membanteras rasuah sendiri terpalit dengan dakwaan.

NGO itu turut membangkitkan pertuduhan terhadap dua pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru Khamis lalu, atas dakwaan menipu individu sebanyak RM40,000 - dikatakan untuk "menyelesaikan kes yang dihadapinya.

"Salah seorang yang mengaku melakukan jenayah itu ialah penolong penguasa SPRM Kluang!

"Adegan kedua-dua pegawai berlari di luar perkarangan mahkamah ke sebuah kereta yang sedang menunggu amat memalukan dan mengejutkan kita," katanya lagi.

C4 juga membangkitkan satu lagi kes pada April lalu, di mana dua pegawai SPRM yang berbeza ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang Geng Nicky, tetapi akhirnya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu bukti pendakwaan yang lebih lanjut.

"Usaha menentang rasuah sekarang amat terjejas dengan siri dakwaan berterusan melibatkan pegawai SPRM dan pastinya ia tidak boleh ditangani secara siasatan dalaman," katanya lagi.

Justeru, C4 menggesa:

  • Siasatan bebas segera ditubuhkan, - melibatkan pakar jenayah kewangan bukan dari SPRM dan polis - serta tiada perkaitan dengan dua badan tersebut.
  • Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Kebangsaan (NAFCC) menerajui proses penubuhan jawatankuasa bebas untuk menyiasat peningkatan pelanggaran melibatkan pegawai SPRM.
  • Menyegerakan siasatan dan pendakwaan untuk memastikan insiden sama tidak berulang.
  • Menteri Undang-Undang Wan Junaidi perlu mengutamakan pembaharuan SPRM (dengan menggunakan memorandum yang dikeluarkan C4 dan Majlis Peguam pada 2015), dan membuat penstrukturan semula terhadap SPRM agar kebebasannya terjamin.
  • Lembaga Penasihat SPRM perlu mempertanggungjawabkan kepemimpinan suruhanjaya dan memberikan kerjasama penuh untuk siasatan bebas.

"Ambillah langkah yang betul untuk memperbaiki keadaan sekarang sebelum negara kita tersasar lebih jauh ke arah kemusnahan," katanya.

Lihat Komen
ADS