Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian Pendidikan arah henti pemeriksaan haid pelajar - sumber

Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan telah mengeluarkan pekeliling kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri yang memberi penekanan bahawa amalan pemeriksaan haid adalah dilarang.

Dalam pekeliling yang dilihat oleh Malaysiakini dan disahkan oleh sumber KPM, ketua pengarah kementerian berkata "KPM mendapati bahawa tindakan pemeriksaan fizikal, khususnya berkaitan haid dalam kalangan pelajar perempuan, ada berlaku di institusi pendidikan bawah KPM.

"KPM memandang serius perkara ini dan menegaskan perkara ini tidak sepatutnya berlaku," kata pekeliling bertarikh 2 Nov 2021 itu.

“Sehubungan dengan itu, semua jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah hendaklah memastikan amalan dan tindakan pemeriksaan fizikal khususnya berkaitan haid tidak berlaku di mana-mana institusi bawah KPM,” kata pekeliling itu.

Ia juga menyeru semua pihak supaya sentiasa peka dan menjalankan pemantauan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku di masa hadapan.

"Tindakan tegas perlu diambil jika amalan sedemikian berlaku di institusi pendidikan bawah KPM," kata pekeliling itu.

Usaha Malaysiankini untuk mengesahkan dokumen itu dengan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin dan kakitangannya, tidak berjaya, tetapi sumber dari Bahagian Dasar Kementerian memberitahu Malaysiakini bahawa pekeliling berkenaan adalah sah.

“Pekeliling itu dihantar sebagai surat kepada ketua-ketua jabatan pendidikan negeri, sebab itu tiada dalam laman web KPM.

“Ia susulan daripada kenyataan Menteri pada 28 Okt lalu,” kata sumber itu.

Ia susulan lawatan Radzi ke Kolej Vokasional ERT di Setapak, Kuala Lumpur berikutan dakwaan pemeriksaan mengejut telah berlaku.

Seorang sumber mendedahkan, kira-kira 30 remaja perempuan berusia antara 18 dan 19 tahun telah dikumpul sekitar jam 7.50 malam pada 18 Okt, diberi putik kapas untuk "membuktikan" mereka sedang haid.

Pelbagai kumpulan dan tokoh masyarakat - termasuk Persatuan Bertindak Semua Wanita (Awam), Azalina Othman Said, Rafidah Aziz, Anwar Ibrahim, Hannah Yeoh, Teo Nie Ching, Kasthuri Patto, Fadhlina Sidek dan Maszlee Malik - turut menggesa pihak kementerian mengambil tindakan terhadap perkara itu sejak kejadian pertama kali dilaporkan oleh Malaysiakini pada April.

Pada Jun lalu, Radzi berkata Kementerian Pendidikan sedang dalam peringkat akhir membentuk jawatankuasa bebas untuk meneliti prosedur sedia ada bagi menangani aduan mengenai amalan pemeriksaan mengejut di sekolah, serta perkara lain yang berkaitan.

Butiran penting mengenai jawatankuasa siasatan itu masih belum didedahkan kepada umum. Malaysiakini telah menghantar lebih 10 pertanyaan berhubung perkara ini, namun tiada sebarang maklum balas.

Siasatan awal kementerian - yang dijalankan sebagai tindak balas kepada bantahan orang ramai dan aduan yang dilaporkan - hasil siasatan tidak menunjukkan bahawa amalan sedemikian dan insiden ganggun lain telah berlaku.

Insiden ini - sebahagian daripadanya bermula sejak 20 tahun lalu - termasuk dakwaan perlu menunjukkan tuala wanita yang dibasahi darah, melakukan sapuan faraj dengan sama ada putik kapas, tisu atau jari, atau meminta guru, warden atau pengawas sekolah menepuk pelajar di pangkal paha untuk memastikan mereka memakai tuala wanita.

Sebagai tindak balas kepada siasatan yang tidak konklusif, Malaysiakini menyerahkan senarai kepada Radzi dengan menamakan 15 sekolah di mana pelajar perempuan mendakwa berlaku pemeriksaan mengejut.

Salinan senarai itu turut dihantar kepada timbalan Radzi, Muslimin Yahaya dan Dr Mah Hang Soon, serta ketua setiausaha kementerian dan Jabatan Komunikasi Korporat.

Senarai itu dihantar bersama butiran lain, seperti tarikh kesalahan yang didakwa (kebanyakannya bertarikh dari 2011 hingga 2018) dan warden atau guru yang dinamakan oleh pelajar.

Nama mangsa yang didakwa tidak termasuk dalam senarai itu.

Dalam kenyataan berasingan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga telah menjalankan siasatan sendiri terhadap amalan pemeriksaan mengejut di sekolah yang ditadbir oleh agensi itu.

Bagaimanapun, ia masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai penemuan siasatannya, bertentangan dengan apa yang dijanjikan pada awalnya oleh Ahli Parlimen Beaufort yang juga Pengerusi Mara Azizah Mohd Dun pada 6 Mei lalu.

Lihat Komen
ADS