Perlantikan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib minggu lalu telah mencetuskan spekulasi bahawa beliau akan kembali menerajui kerajaan negeri itu selepas pilihanraya umum akan datang.

Menurut para pemerhati politik, Ketua Penerangan Umno itu dipercayai akan menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam satu percaturan politik yang dikaitkan dengan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

"Perlantikan beliau sebagai ahli Dewan Negara adalah langkah pertama bagi satu 'grand design' yang dipercayai sedang dirancang pihak tertentu," kata seorang permerhati politik Umno dari Shah Alam.

Dr Khir, katanya, dilihat sebagai salah seorang saingan kuat menantu Perdana Menteri itu bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.

"Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan untuk melemahkan pengaruh Dr Khir bagi menghalangnya mencabar Khairy selepas Datuk Sri Hishamuddin Hussein mengundurkan diri.

"Selangor adalah salah satu daripada negeri yang mempunyai perwakilan paling ramai ke perhimpunan agung Umno. Oleh itu, pengaruh Dr Khir di Selangor perlu dikekang," jelas pemerhati itu lagi.

Dr Khir dilihat sebagai calon yang berpotensi dan berkemampuan untuk menyaingi Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda ekoran rekod pentadbirannya di Selangor dan mempunyai pengaruh yang meluas dalam Umno.

Lemahkan pengaruh Dr Khir

Menteri Besar Selangor itu mendapat undi terbanyak bagi jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan Umno pada 2004.

Menurut pemerhati itu lagi, salah satu cara yang ada untuk melemahkan pengaruh Dr Khir di Selangor ialah dengan membawanya ke pusat dan meletakkan orang kepercayaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui negeri itu.

"Satu-satunya calon terbaik dan boleh diterima ramai untuk menggantikan Dr Khir ialah Muhd Taib. Jika Muhd Taib mengetuai kerajaan dan Umno Selangor, maka lebih mudahlah bagi perwakilan Umno negeri itu dilentur supaya tidak menyokong doktor gigi itu jika berlaku pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda Umno," hujah pemerhati berkenaan.

Selain menjadi ahli MT, Dr Khir juga merupakan Pengerusi badan Perhubungan Umno Selangor, manakala Muhd Taib adalah timbalan pengerusi.

Menurut pemerhati itu pagi, "grand design" itu dapat dilihat apabila pemilihan Umno tahun depan ditangguhkan bagi membolehkan pilihanraya umum diadakan terlebih dahulu.

"Percaturan menantu Pak Lah itu ialah mengatur dan meletakkan orangnya di tempat strategik, menjadi calon Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Kemungkinan besar orang MB Selangor akan digugurkan dan Dr Khir sendiri diletak bertanding kerusi Parlimen untuk dibawa ke pusat bagi jawatan timbalan menteri atau menteri penuh.

"Muhd Taib pula akan dicalonkan semula sebagai Adun dan kemudian dilantik sebagai Menteri Besar. Apabila sudah jadi MB, maka dengan sendirinya beliau akan mengetuai badan perhubungan Umno Selangor dan akan lebih mudahlah percaturan politik seterusnya dilakukan oleh musuh-musuh Dr Khir," jelas pemerhati itu lagi.

Spekulasi jadi kenyataan

Seorang lagi tokoh politik veteran yang rapat dengan pucuk pimpinan Umno juga tidak menolak kemungkinan wujud "grand design" tersebut.

"Walupun ini hanya spekulasi tapi ia tidak boleh ditolak sama sekali. Maklum sajalah, di Malaysia ini khabar-khabar angin sering menjadi kenyataan.

"Lagipun, kalau kita perhatikan di media massa terutamanya di stesyen televisyen swasta di mana Dr Khir sering menjadi sasaran," tambahnya.

Menurutnya lagi, apa sahaja kepincangan atau kelemahan kerajaan negeri Selangor akan diperbesar-besarkan.

Terbaru sekali, katanya, isu Datuk Zakaria Mat Deros dan perlantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan negeri itu.

"Banyak pihak percaya langkah menggembar-gemburkan isu Zakaria ini didalangi pihak tertentu yang mahu mendedahkan kelemahan pentadbiran Dr Khir.

"Selain itu, pelbagai isu alam sekitar seperti banjir di Shah Alam, tanah runtuh dan pembalakan haram juga dilihat sengaja diperbesar-besarkan oleh media," katanya.

Tokoh politik veteran itu menambah, ini jelas menunjukkan pihak tertentu tidak senang dengan Dr Khir dan mahu beliau disingkirkan dari jawatannya.