Isu Mukhriz: Mesyuarat exco Pemuda esok jadi tumpuan
Mesyuarat bulanan exco pergerakan Pemuda Umno akan diadakan esok dan isu berhubung komen Datuk Mukhriz Mahathir terhadap ucapan dasar presiden mungkin dibincangkan jika ia dibangkitkan oleh anggota exco yang hadir.
Mesyuarat bulanan exco pergerakan Pemuda Umno akan diadakan esok dan isu berhubung komen Datuk Mukhriz Mahathir terhadap ucapan dasar presiden mungkin dibincangkan jika ia dibangkitkan oleh anggota exco yang hadir.
Manakala Mukhriz ketika dihubungi mengesahkan akan menghadiri mesyuarat exco pergerakan itu jam 3 petang esok bertempat di tingkat 38 bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibunegara.
Bagaimanapun, Mukhriz enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada beliau akan memberi penjelasan berhubung komennya itu, jika ia dibangkitkan dalam mesyuarat esok.
Komen Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Umno itu terhadap ucapan dasar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah menjadi isu hangat semasa dan selepas perhimpunan agung Umno yang lalu.
Ekoran itu, Mukhriz telah melahirkan kekesalannya berhubung komennya terhadap ucapan Presiden Umno itu, dengan menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak.
"Saya tak nak komen apa-apa sekarang... tapi saya akan hadir," katanya ketika dihubungi di Alor Star.
Bina masjid
Mukhriz dalam perjalanan balik ke ibunegara setelah menghadiri majlis pecah tanah pembinaan sebuah masjid di Kampung Pasir Jawa, Teluban, Pattani, di selatan Thailand Isnin lalu.
Yayasan Perdana Global Peace yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menderma RM500,000 untuk pembinaan masjid tersebut. Mukhriz mewakili bapanya di majlis tersebut.
Anak bekas Perdana Menteri itu menjadi sasaran para exco Pemuda dan pemimpin Umno lain semasa dan selepas perhimpunan agung Umno yang lalu kerana merumuskan ucapan dasar Presiden Umno sebagai "tidak mempunyai apa-apa yang baru".
Sementara itu, exco Pemuda Umno merangkap Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim, ketika dihubungi, berkata tiada agenda khusus untuk membincang isu Mukhriz itu, namun ia akan dibincangkan jika ada exco yang membangkitkannya.
Sementara itu satu sumber Pemuda Umno pula memberitahu, mesyuarat esok akan memberi tumpuan kepada perjalanan perhimpunan agung Umno baru-baru ini.
"Fokus utama ialah mengenai ucapan beberapa perwakilan Pemuda yang dikatakan keras dan menyinggung orang bukan Melayu. Ini termasuklah isu keris yang terus diperkatakan hingga sekarang," katanya.
Mesyuarat khas
Sumber itu juga menyatakan, mesyuarat esok kemungkinan besar tidak akan membincangkan isu Mukriz kerana ia akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas lain.
Katanya, mungkin mesyuarat khas itu dijangka diadakan sebelum pertengahan bulan depan.
Ketua pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum ini ada menyatakan exco Pemuda akan bermesyuarat untuk menentukan bentuk tindakan terhadap Mukhriz berhubung isu tersebut.
Para pemimpin Umno termasuk Abdullah; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Hishamuddin dan ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zahid Hamidi telah mengecam Mukriz dan menyifatkan komennya itu sebagai keterlaluan.
Ketua-ketua Pemuda Umno negeri pula menyifatkan tindakan Mukhriz telah memalukan pergerakan itu dan mahu tindakan diambil terhadapnya.

