Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawapan Pua buktikan dakwaan terhadapnya benar - Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata Tony Pua mengesahkan dakwaan terhadapnya adalah benar walaupun dia tidak menamakan ahli parlimen Damansara itu dalam buku terbarunya.

Bercakap kepada pemberita, Mahathir berkata Pua melalui tiga jawapan balas terhadapnya membuktikan peranannya sebagai bekas setiausaha politik kepada menteri kewangan Lim Guan Eng ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Seperti yang anda tahu saya tidak menamakan dia (dalam buku itu). Tetapi jelas sekali dia faham apa yang saya katakan tentang dia.

“Respons dia sendiri membuktikan apa yang saya katakan adalah benar,” kata Mahathir.

"Kenapa dia perlu menjawab jika ia mengenai orang lain?

"Dialah yang mengambil masa lama untuk menjawab tiga kali, menulis esei panjang mengenainya," kata Mahathir semasa pelancaran secara maya memoir terbarunya, Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia yang diadakan di sebuah kedai buku di Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jawapan balas ketiga dan terbaru dari Pua di mana ahli parlimen DAP itu mendakwa dia dinilai secara tidak adil berdasarkan persepsi yang dicipta oleh kalangan perniagaan yang mempunyai kepentingan dan akibat sentimen politik dalam Bersatu dan Umno.

Walaupun Mahathir tidak menamakannya dalam buku itu, Pua dalam sanggahan pertamanya berkata dia yakin menjadi sasaran dan mendakwa bahawa cara paling mudah untuk mencetuskan kemarahan Mahathir adalah “menyasarkan titik lemahnya berkenaan beberapa ‘bos perniagaan besar’ yang dilayan secara tidak adil”.

Sementara itu, Mahathir hari ini mempertahankan dakwaannya bahawa Pua berkelakuan "seperti seorang menteri" berbanding menjalankan tugas sebagai setiausaha politik kepada seorang menteri.

“Tugas setiausaha politik adalah untuk memaklumkan kepada menteri supaya menteri boleh memberikan respons terhadap apa yang berlaku di lapangan.

"Tony Pua berlagak seperti seorang menteri yang memiliki kuasa," kata Mahathir.

Mahathir juga menegaskan dia menerima aduan daripada kalangan ahli perniagaan mengenai keangkuhan Pua.

“Sudah tentu dia akan menafikannya.

"Dan saya tidak akan berkata apa-apa, terpulang kepada rakyat sama ada apa yang saya katakan itu benar atau apa yang dia katakan itu benar," tambahnya.

Menjawab persoalan mengenai penerbitan buku terbarunya, Mahathir berkata dia perlu merekodkan insiden yang berlaku selepas peletakan jawatannya sebagai perdana menteri ketujuh, khususnya untuk tatapan generasi muda.

Lihat Komen
ADS