Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid harap PRU segera kerana jutaan pengundi baru

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan jumlah pengundi muda dan berharap pilihan raya umum tidak akan ditangguhkan lebih lama lagi.

Dalam ucapan pada mesyuarat Umno Bahagian Bagan Datuk pagi tadi, pemimpin itu mengingatkan ahli parti bahawa pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik akan menyaksikan 5.8 juta pemilih baharu didaftarkan.

Katanya, jumlah itu akan meningkat setiap bulan di setiap kawasan, termasuk di Bagan Datuk, kerusi yang dimenanganinya sendiri.

"Di Bagan Datuk sendiri akan terdapat 13,000 pengundi baru dari jumlah sedia ada daripada 45,000 sebelum ini. Campur 13,000 ertinya akan ada 58,000 pengundi di Bagan Datuk.

“Dan perlu diingat bahawa daftar pemilih diwartakan setiap bulan.

"Jika kita lakukan pilihan raya seperti didesak seorang pemimpin yang lagi berada di peringkat pimpinan nasional, yang mahukan pilihan raya dilanjutkan mengikut pelanjutan usia yang ada padanya untuk dia melanjutkan jawatan dipegang olehnya.

"Maka lihatlah, di Bagan Datuk sendiri jika pilihan raya umum diadakan terlalu lama, mungkin di Bagan Datuk nanti akan ada lebih 60,000 (pengundi)," katanya ketika berucap.

Menurut Zahid, yang juga kebimbangan itu bukan kerana mereka takut kepada pengundi muda mahupun pengundi baharu.

Ia sebaliknya, dakwanya, kerana parti itu mahu mengelak daripada menghadapi lebih banyak isu apabila menghadapi pilihan raya kelak.

"Bukan kita takut, tapi kekhuatiran kita jika pilihan raya umum diadakan terlalu lama, banyak isu-isu baru yang akan timbul, banyak kelemahan-kelemahan yang akan muncul.

"Banyak tohmahan dan fitnah yang akan terus datang adakah kita akan mampu untuk menyantuni isu-isu dan masalah itu," katanya.

Jelas Zahid lagi, Umno bukannya mahu pilihan raya diadakan serta-merta.

Kerajaan menjangkakan terdapat kira-kira 5.8 juta pemilih tambahan apabila Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik berkuat kuasa pada 15 Dis, termasuk kira-kira 1.2 juta belia berusia antara 18 dan 20 tahun.

Dalam kenyataan akhbar minggu lalu, Menteri Undang-undang Wan Junaidi Wan Tuanku Jaafar berkata, jumlah pengundi baru mewakili sekitar 40 peratus peningkatan dalam pemilih berdaftar, daripada 15.8 juta kepada 21.1 juta.

Lihat Komen
ADS