Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yeoh: Kenapa lulus projek rumah mampu milik di kawasan risiko banjir?

Golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur tidak patut didedahkan dengan risiko menjadi mangsa banjir menerusi sebarang cadangan projek perumahan di kawasan yang pada asalnya ditandakan untuk menjadi kolam takungan banjir, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Yeoh secara khusus menyebut projek perumahan mampu milik di kolam takungan banjir Batu dan Batu 4 ½ di Kuala Lumpur.

Ia merupakan dua daripada enam kawasan yang dikenal pasti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 pada September lalu, yang diluluskan untuk tujuan pembangunan.

“Apa maknanya ini? Kita bina rumah mampu milik di tempat (berisiko) banjir.

“Saya rasa cukuplah (biarkan) rakyat yang tak mampu beli rumah, diberi kawasan perumahan yang berisiko banjir,” katanya kepada pemberita di luar balai polis Sentul, hari ini.

Yeoh berkata, golongan yang tidak mampu memiliki rumah sendiri tetap perlu diberi layanan yang “bermaruah”.

“Berhenti tawarkan mereka kolam (takungan) untuk jadikan perumahan dan bila banjir, beri mereka RM1,000. Tak cukup,” katanya lagi, merujuk bantuan wang tunai oleh kerajaan persekutuan kepada mangsa banjir baru-baru ini.

Menteri perlu jelaskan

Dia menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menyatakan jika kerajan sedia untuk membatalkan projek pembangunan di kawasan itu.

Dia juga menggesa Annuar Musa, selaku bekas menteri wilayah persekutuan, untuk menjelaskan bagaimana dua projek itu diluluskan pada Ogos dan September 2020.

Selain enam kolam takungan banjir, terdapat sembilan lagi kolam sedemikian di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi Yeoh, banjir yang melanda baru-baru ini menunjukkan kelemahan dalam sistem dan penduduk tidak bersedia untuk berdepan gelombang kedua.

Terdahulu hari ini, Yeoh bersama sama Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dibuat terhadap kemungkinan sebarang salah laku dalam penganugerahan projek di enam kawasan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.

“Beberapa keputusan seperti melanggar syor yang dibuat agensi teknikal,” kata Fahmi.

Dedahkan siapa bertanggungjawab

Fahmi berkata syor teknikal yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur pada Januari tahun lalu, iaitu 11 bulan sebelum banjir melanda, adalah sebarang perubahan penggunaan kolam takungan banjir untuk projek pembangunan lain bukan saja menjejaskan kapasitinya, tetapi juga sistem tebatan secara keseluruhan.

Terdahulu, pengarah komunikasi PKR itu menggesa kerajaan mendedahkan individu yang bertanggungjawab terhadap pemberimilikan kawasan tersebut.

Yeoh dan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pula menggesa SPRM menyiasat perkara itu.

Gesaan itu di tengah banjir besar yang melanda beberapa negeri ekoran hujan berterusan dan juga amaran risiko gelombang kedua.

Dua hari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata mereka perlu menyemak maklumat sebelum membuat sebarang tuduhan.


Lihat Komen
ADS