Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan kes menghina didengar 29 Mac

Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 Mac ini untuk mendengar permohonan Malaysiakini berhubung sabitan yang mendapati organisasi berita ini bersalah menghina mahkamah atas komen lima pembaca.

Peguam mengesahkan perkara itu hari ini dan menyatakan ia akan diadakan menerusi Zoom.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menetapkan semakan itu akan didengar pada 12 Oktober lepas.

Namun, tarikh itu ditangguhkan ekoran penyusunan semula kes mahkamah itu.

Pasukan peguam Malaysiakini memfailkan permohonan semakan itu pada Mei tahun lalu.

Malaysiakini memohon agar sabitan diketepikan agar kes dapat didengar semula di Mahkamah Persekutuan.

"Majoriti (hakim) Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya pada 19 Februari 2021 menangani isu dan/ atau perkara tertentu tanpa memberi peluang kepada pemohon (Malaysiakini) untuk pendengaran sama.

"Ini pelanggaran prinsip keadilan semula jadi.

"Keputusan majoriti itu bertentangan dengan Seksyen 98 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata usul itu.

Seksyen 98(2) akta tersebut memperuntukkan "pematuhan suatu kod industri sukarela berdaftar hendaklah menjadi suatu pembelaan terhadap apa-apa pendakwaan, tindakan atau prosiding daripada apa-apa jenis, sama ada dalam mahkamah atau selainnya, yang diambil terhadap seseorang (yang tertakhluk kepada kod industri sukarela itu) berkenaan dengan suatu perkara yang diperkatakan dalam kod itu."

Majoriti 6-1

Hakim mahkamah paling tinggi negara yang membuat keputusan majoriti 6-1 ialah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusof, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.

Sementara itu, hakim yang tidak bersetuju dengan keputusan itu pula ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini yang berpendapat Malaysiakini tidak melakukan kesalahan menghina atas komen pembaca berkenaan.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan denda RM500,000, jauh lebih tinggi daripada RM200,000 yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara.

Melalui kempen kutipan dana, dalam masa sehari portal berita ini dapat mengumpulkan jumlah denda tersebut, malah berlebihan.

Sebahagian daripada lebihan dana daripada kempen kutipan dana dalam talian akan digunakan untuk permohonan semakan kehakiman ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS