Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan: Dulu hampir musnahkan KWAP, kini Umno perjudikan KWSP
Diterbitkan:  Jan 4, 2022 10:59 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Seorang ahli parlimen PKR menempelak Umno yang didakwanya mahu “menghancurkan” Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran desakan agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang caruman sekali lagi.

Kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, dahulu pemimpin Umno juga yang “hampir memusnahkan” Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kakitangan awam apabila RM4 bilion lesap setelah dipinjamkan kepada 1MDB.

Kini, katanya, pemimpin-pemimpin Umno hendak menghancurkan pula wang simpanan persaraan pekerja swasta dalam KWSP.

“Pemimpin Melayu jenis apa pemimpin-pemimpin Umno sekarang ini?

“Dari presiden Umno hingga ke ketua pemudanya mahu memperjudikan wang pencen pekerja swasta dalam KWSP kononnya atas alasan hendak bantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.

“Adakah pemimpin Umno sudah bangkrap idea?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia dipercayai merujuk gesaan Umno agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang pencarum menerusi i-Citra, lebih-lebih pada musim banjir.

Jika tiada skandal 1MDB

Antara pemimpin yang membuat gesaan itu ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, ketua pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas presiden Umno Najib Razak.

Pinjaman RM4 bilion dimaksudkan Hassan merujuk kepada jumlah dana KWAP dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) - bekas anak syarikat 1MDB - membabitkan Najib, sekitar 2011 hingga 2012, yang didakwa bekas perdana menteri itu untuk tujuan pelaburan.

Mahkamah mendapati Najib selaku perdana menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada KWAP kepada SRC.

Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC, dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah gagal di peringkat Mahkamah Rayuan.

Najib masih dibicarakan untuk kes-kes lain berkaitan 1MDB.

Kata Hassan, negara kini seperti memikul biawak hidup kerana terpaksa membayar berbilion ringgit setahun untuk melunaskan hutang RM30 bilion angkara perbuatan “pemimpin tertinggi Umno” (ketika itu) dan konco-konconya dalam skandal 1MDB.

“Jika tidak ada skandal 1MDB negara akan ada wang untuk bantu rakyat akibat bencana banjir seperti yang berlaku sekarang. 

"Adakah pemimpin Umno sedar dan insaf hakikat itu?” soalnya.

Setakat ini, tiada kebenaran untuk pengeluaran i-Citra untuk pencarum KWSP.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata hampir 50 peratus atau enam juta pencarum tidak akan mendapat manfaat pengeluaran berkenaan kerana mempunyai baki caruman kurang RM10,000, yang mana 74 peratus daripada jumlah itu ialah bumiputera.

Dia turut mempertikaikan niat pihak yang mendesak pengeluaran tambahan KWSP. 

Perdana Menteri Ismail Sabri juga berkata kerajaan menyediakan pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai dan bantuan kos membaiki atau membina rumah, yang disifatkannya boleh menbantu mangsa banjir tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP.

Lihat Komen
ADS