Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor berang dengan SPRM: ‘Jaga tepi kain kamu sendiri’
Diterbitkan:  Jan 5, 2022 3:01 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyelar SPRM kerana mengeluarkan iklan berkaitan doktor yang menjual sijil cuti sakit ketika suruhanjaya antirasuah itu sendiri berdepan persoalan integriti.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata video di media sosial SPRM itu satu penghinaan kepada kesucian dan imej kerjaya perubatan.

“Agensi kerajaan itu patut menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesej mereka.

“Sebagai doktor, kami sangat tersinggung dengan hantaran itu, yang patut diturunkan serta-merta,” kata Koh.

Video itu mendapat lebih 720,000 tontonan sejak dimuat naik semalam. Ia memaparkan seorang doktor menulis MC kepada pesakit setelah diberikan “sampul”.

Sementara itu, Koh memberitahu SPRM supaya membersihkan isu dalaman agensi itu terlebih dahulu.

“Adakah mereka lupa pengorbanan kami untuk negara dalam memerangi musuh ketat kita iaitu virus SARS-CoV-2 yang meragut 31,591 nyawa?” katanya.

Koh juga berkata, dalam banjir baru-baru ini, golongan pengamal perubatan juga turun membantu orang ramai ketika klinik mereka sendiri musnah akibat banjir.

“Ini hanyalah beberapa contoh semangat dan komitmen kami yang tidak putus-putus untuk memberikan penjagaan kepada orang," katanya.

MMA juga menuntut SPRM memohon maaf secara terbuka berhubung video itu.

 Semalam, pegawai kanan SPRM Shahrum Nizam Baharuddin diheret ke mahkamah atas dakwaan menyeleweng RM25 juta wang tunai yang menjadi bahan bukti kes rasuah.

SPRM juga berdepan kontroversi berkaitan dakwaan ketua pesuruhjayanya Azam Baki memiliki dua juta saham dalam syarikat senaraian awam.

Lihat Komen
ADS