Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JKMR soal jika Azam ada isytihar sahamnya, mahu jumpa PM
Diterbitkan:  Jan 14, 2022 2:16 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), satu daripada lima panel kawal selia SPRM, berkata persoalan asas berhubung kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam firma senarai awam adalah sama ada dia mengisytiharkannya atau tidak.

Presiden Dewan Negara Rais Yatim, yang mempengerusikan JKMR berkata bahawa terdapat pekeliling tetap yang menyatakan bahawa penjawat awam tidak boleh memiliki lebih daripada RM100,000 saham.

Walaupun fokus ditumpukan sama ada jumlah saham itu sepadan dengan pendapatan Azam dan berlakunya konflik kepentingan, atau sebaliknya, Rais berkata pengisytiharan aset juga perlu menjadi aspek tumpuan.

“Dalam pekeliling JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam 1993 dan juga pekeliligan dibuat JPA dan kabinet pda tahun 2002 menyatakan bahawa perisytiharaan aset termasuk saham harus dibuat.

“Jadi, kes berkaitan dengan ketua pesuruhjaya SPRM (adakah perisytiharaan aset) sudah ke dibuat? Itu satu persoalan asas,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah anggot JKMR yang lain iaitu Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Pasir Gudang PKR Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP Wong Hon Wai.

Jawatankuasa itu, yang menyemak laporan SPRM, berkata berdasarkan maklumat yang diberikan kepada panel, tidak ada tanda-tanda pengisytiharan dibuat.

Oleh itu, Rais menambah siasatan diperlu dijalankan.

Ini adalah tambahan kepada fakta sama ada Azam adalah pemilik benefisial saham atau sama ada ia dibeli bagi pihak orang lain atau dirinya.

JKMR juga telah menyemak ulasan yang dibuat oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang yang mengisytiharkan bahawa Azam tidak melakukan sebarang kesalahan.

LPPR adalah salah satu daripada lima jawatankuasa kawal selia SPRM. Abu Zahar juga merupakan bekas presiden Dewan Negara.

Rais berkata kenyataan Abu Zahar mesti dilihat dalam "konteks yang betul".

Kontroversi itu tercetus selepas profesor ekonomi politik Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai anggota LPPR kerana membantah tindakan tidak diambil terhadap Azam.

Rais mengambil maklum kejadian itu dan berkata Gomez sepatutnya menggunakan saluran yang sepatutnya.

Bagaimanapun, katanya, intipati dalam aduan Gomez, sebagai pemberi maklumat, tidak perlu dicurigai.

Rais berkata JKMR akan mengesyorkan supaya siasatan dijalankan dan mengalu-alukan kenyataan Azam bahawa dirinya bersedia untuk disiasat.

“Semalam saya telah berhubung dengan perdana menteri sebab hal ini didapati amat penting dan rakan-rakan saya juga mempunyai pandangan yang sama," katanya.

Rais berkata sebahagian daripada mandat jawatankuasa itu adalah untuk menasihati perdana menteri.

Mengenai sama ada Azam perlu bercuti, atau tidak, Rais berkata keputusan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Dia berkata pandangan adalah Azam harus bercuti tetapi terdapat hujah bertentangan bahawa kes yang lebih serius tidak dikenakan tindakan yang sama sementara menunggu siasatan.

“Terserah kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk putuskan untuk diberi cuti atau tidak,” katanya.

Azam menjadi tumpuan susulan pendedahan berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 ketika itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 ketika itu.

Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham berkenaan pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan jika ini setimpal dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Pada sidang media khas pada 5 Januari lalu, Azam tidak menafikan mengenai pemilikan saham tersebut tetapi mendakwa ia dibeli atas namanya oleh adiknya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS