Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan hakim syarie bogel: JPM tak masuk campur kuasa polis, kata Idris
Diterbitkan:  Jan 18, 2022 11:07 PM
Dikemaskini: 3:07 PM

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual melibatkan Ketua Hakim Syarie, Mohd Na'im Mokhtar.

Menterinya, Idris Ahmad berkata, JPM tidak mencampuri bidang kuasa polis dalam menyiasat kes berkenaan.

"Seperti mana yang sedia maklum, perkara ini telah dilakukan siasatan oleh pihak polis. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

"JPM (HEA) sama sekali tidak akan mencampuri bidang kuasa pihak polis dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan dengan itu, Idris meminta semua pihak akur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus dan terperinci.

"Ia akan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terkait dalam isu ini. Sebarang kenyataan yang boleh menganggu siasatan perlulah dihentikan," tambahnya.

Terdahulu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menggesa Idris memandang serius perpecahan dan perbalahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi syariah susulan dakwaan berkenaan.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata perpecahan itu sudah lama berlarutan tetapi tiada tindakan diambil oleh kerajaan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan polis telah memulakan siasatan terhadap seorang hakim kanan selepas seorang wanita membuat laporan mendakwa dia menemui hakim terbabit dalam keadaan berbogel di atas katil di rumahnya pada 2020.

Mohd Na'im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, kemudiannya tampil membuat laporan polis "menafikan sekeras-kerasnya" dakwaan berkenaan.

Lihat Komen
ADS