Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kerajaan Pahang sebelum ini menafikan berlakunya kegiatan pembalakan di hutan di Bentong, namun permit pembalakan di tapak di sana menunjukkan hal berbeza.

Ketika Malaysiakini melawat tapak itu yang terletak berdekatan Hutan Simpan Kuala Raka bersama-sama Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, papan tanda menunjukkan pemaju sedang membersihkan kawasan bagi pembinaan projek perumahan mampu milik.

Wong dimaklumkan berkenaan perkara itu oleh seorang pendaki yang terkejut apabila menemui terdapat jalan bagi mengangkut balak di hutan itu.

Jalan itu sepanjang 4.6 kilometer dan merentasi Bukit Raka dari barat ke timur. Ia bersambung dengan Lebuh Raya Utama Tengah, atau Central Spine Road (CSR).

Menghala ke barat dengan jalan ini, Malaysiakini dan pasukan Wong mendapati ada sebuah tapak pembalakan di belakang Taman Shahbandar Height.

Walapun perintah agar pembalakan dihentikan sementara telah dikeluarkan awal bulan ini, penduduk taman itu membuat aduan mereka mendengar bunyi pokok jatuh.

Ketika kunjungan Malaysiakini pada 21 Januari lalu, pekerja dilihat memandu mesin pengorek bagi membersihkan hutan dan kayu balak kemudian diangkut menggunakan trak.

Sejumlah kayu balak juga dilihat disusun tidak jauh dari tapak tersebut.

Ketika diberitahu tentang kehadiran ahli parlimen itu, empat lelaki datang ke kawasan itu.

Mendakwa dirinya sebagai wakil syarikat pembinaan, salah seorang daripada mereka memberitahu Wong yang semua prosedur yang digariskan jabatan perhutanan dipatuhi dan kerajaan negeri akan membina rumah Prima di kawasan itu.

Permit pembalakan hilang

Papan tanda di tapak itu mengesahkan dakwaannya. Di dalam hutan, ada dua permit yang dikeluarkan oleh Pejabat Hutan Daerah Bentong untuk mewujudkan jalan sementara. 

Sementara itu, tiga papan tanda dekat Taman Shahbandar Height memaklumkan kerja pembersihan dibuat untuk projek perumahan Prima.

Antara yang dipaparkan adalah permit pembalakan: “Tanah kerajaan bagi cadangan pembangunan Perumahan Rakyat 1Malaysia dalam Lot 4623”.

Projek itu berkeluasan 31.556 hektar, bersamaan kira-kira 44 padang bola.

Namun permit tersebut hilang tiga hari kemudian. Penduduk memberitahu Malaysiakini ia dibuang oleh dua orang lelaki pada 23 Januari.

Ia sehari selepas Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail menyangkal ada kegiatan pembalakan di hutan Bentong dan menggesa dua Adun pembangkang yang membangkitkan isu tersebut agar mengemukakan bukti.

‘Kerajaan persekutuan perlu tamatkan eksport balak’

Bercakap dengan Malaysiakini di tapak tersebut, Wong mengkritik kerajaan negeri kerana menurutnya telah membatalkan arahan henti sementara ketika “tangisan mangsa banjir belum kering”.

Dia juga mempersoalkan rasional membina projek perumahan di kawasan bukit yang berisiko berlaku tanah runtuh.

Dia juga menyuarakan kembimbangan bahawa apabila Hutan Simpan Kuala Raka dibersihkan dan dibangunkan, bandar Bentong - yang terletak di kawasan lebih rendah - akan dilanda banjir yang lebih teruk.

“Kerajaan persekutuan perlu masuk campur dan hentikan (pembalakan di Pahang). Hentikan eksport kayu balak. Jika ia dilakukan, tiada lagi kegiatan pembalakan,” katanya.

Wong juga membangkitkan bagaimana kerajaan persekutuan mengambil tindakan tegas berkenaan perlombongan bauksit haram di Kuantan pada 2015, dan menggesa moratorium serupa dikenakan terhadap pembalakan di negeri itu.

Walaupun syarikat mendakwa pembalakan dilakukan di tanah kerajaan, lokasinya berhampiran dengan hutan simpan, justeru Wong menggesa Jabatan Perhutanan agar menjelaskan bila tanah hutan simpan dinyah warta dan statusnya bertukar menjadi tanah kerajaan.

Dalam pada itu, dia juga bimbang ekosistem hutan simpan akan terjejas jika berlaku pembalakan haram di sana.

“Oleh kerana kerajaan berjanji untuk memelihara 50 peratus hutan di Malasysia, kerajaan patut menandanya di peta dan menunjukkannya kepada awam.

“Dengan itu saja mereka dapat menunjukkan komitmen untuk memelihara hutan kepada negara dan masyarakat antarabangsa,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Wan Rosdy untuk mengulas perkara ini.

Akhir bulan lalu, banjir besar melanda beberapa negeri, termasuk sejumlah kawasan di Pahang. Bentong adalah antara kawasan tersebut,

Ketika banyak kayu hanyut dan berlonggok di sungai berdekatan Batu 13 Karak dan Kampung Sungai Perdak, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menafikan ia akibat pembalakan di Hutan Simpan Lentang seperti yang didakwa.

Pada 4 Januari lalu, jabatan itu mengeluarkan arahan terhadap aktiviti pembalakan dihentikan sementara berikutan banjir yang melanda.

Pada 19 Januari lalu, Adun Bilut Lee Chin Chen dan Adun Tras Chow Yu Hui membangkitkan kebimbangan penduduk Taman Shahbandar Height berkenaan kemungkinan berlakunya kegiatan pembalakan haram, di sebalik arahan yang dikeluarkan jabatan itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS