Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
EAIC: Tiada bukti dakwaan wujud kartel polis
Diterbitkan:  Feb 22, 2022 9:10 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) merumuskan siasatan mereka berhubung dakwaan kartel yang beroperasi dalam PDRM sebagaimana dakwaan bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador.

Pengerusi EAIC Sidek Hassan berkata berdasarkan keterangan saksi dan dokumen yang diperoleh EAIC, pihaknya tidak dapat mengesahkan kewujudan kartel yang didakwa itu.

“Berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh EAIC tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam PDRM sebagaimana yang didakwa oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan telah dijalankan oleh SPRM dan PDRM ke atas pegawai-pegawai tersebut.

"Dakwaan Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pada sidang akhbar terakhirnya Mac tahun lepas, Abdul Hamid (gambar, atas) mendakwa wujudnya "kartel" dalam pasukan polis, yang bercita-cita untuk menguasai pasukan itu untuk kepentingan peribadi mereka sendiri.

Katanya, kumpulan ini termasuk pegawai berpangkat tinggi, mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah, juga didakwa berkomplot untuk menyingkirkannya sebagai ketua polis negara.

Hamid juga mendakwa ahli kartel termasuk anggota polis lebih muda yang berpakat dalam cubaan untuk menyingkirkannya sebagai sebahagian daripada rancangan yang lebih besar untuk menguasai pasukan itu.

Sementara itu, Sidek berkata bukti yang diperoleh EAIC menunjukkan pelantikan, kenaikan pangkat dan rombakan yang diamalkan dalam pasukan polis dan suruhanjaya polis melibatkan proses menyeluruh yang sukar untuk berlaku campur tangan.

Jelasnya, ketua polis negara mesti terlebih dahulu meluluskan sebarang cadangan pelantikan, kenaikan pangkat atau pertukaran pegawai kanan polis daripada pasukan kepada suruhanjaya itu, kerana mereka adalah anggota tetap suruhanjaya itu.

Gambar fail, Pengerusi EAIC Sidek Hassan.

"Kedudukan Tan Sri Abdul Hamid Bador selaku KPN (ketua polis negara) tidak dapat digugat kerana pelantikan KPN adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat perdana menteri," kata Sidek lagi.

Dapatan siasatan itu turut diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Terdahulu, pendedahan Abdul Hamid itu telah mencetuskan reaksi meluas, termasuk daripada kalangan ahli politik pembangkang, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, serta Majlis Peguam, yang meminta penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara itu.

Acryl Sani Abdullah Sani yang menggantikan Abdul Hamid sebagai ketua polis negara mengumumkan pada Mei tahun lalu bahawa EAIC sedang menyiasat dakwaan itu.

EAIC tidak memberikan sebarang kemas kini perkembangan perkara itu sepanjang tempoh berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu walaupun sebelum ini mengesahkan tiada gerakan kartel dalam PDRM.

"Siasatan dalaman PDRM mendapati tiada isu namun saya tidak berpuas hati, saya menyuruh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk meneruskan siasatan," katanya pada 25 Nov 2021.

Lihat Komen
ADS