Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Poster boy’ BN - Kita tunggu parti buat keputusan, kata Zahid

Barisan Nasional (BN) belum memutuskan siapa yang akan menjadi 'poster boy' gabungan itu untuk pilihan raya umum akan datang, kata pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi, ketika diajukan soalan jika perdana menteri sekarang, Ismail Sabri Yaakob akan menjadi pilihan.

Bercakap kepada pemberita di Johor Bahru pagi ini, Zahid yang juga adalah presiden Umno berkata nama berkenaan akan diumumkan kemudian selepas mereka membuat keputusan.

“Kita punyai sistem musyawarah dan kebersamaan barisan pembuat keputusan lazimnya akan mengadakan perbincangan bagi menentukan bahawa parti harus berada di garisan hadapan dan ketika itu kita akan umumkan,” katanya.

Dia berkata demikian semasa sidang media di pusat operasi pilihan raya MIC di Tampoi.

Zahid menjawab soalan sama ada Ismail Sabri akan menjadi wajah yang menghiasai sepanduk kempen pada pilihan raya umum ke-15 atau jika ada calon lain yang akan menggantikan perdana menteri itu.

Dia sebelum ini memberitahu pemberita bahawa pilihan raya umum tidak seharusnya ditangguhkan lebih lama lagi dan sebaik-baiknya diadakan selepas berakhirnya pilihan raya negeri Johor, yang diyakini akan menang, supaya tidak kehilangan momentum.

PRU terakir diadakan pada 2018 dan tempoh mandat ahli parlimen sekarang akan berakhir pada tahun hadapan.

“Hari ini hari Jumaat dan (esok) pilihan raya di Johor. Tidak sesuai saya umumkan siapakah poster boy kita dalam PRU-15.

“Kita tunggu apabila parti membuat keputusan,” kata Zahid,

Ismail Sabri, yang adalah ahli Parlimen Bera, juga mewakili Umno dan merupakan salah seorang daripada tiga naib presidennya.

Bagaimanapun, diketahui umum terdapat perpecahan dalaman dalam parti tertua negara itu, dengan Ismail Sabri sehaluan dengan puak lain yang tidak menyokong Zahid.

Lihat Komen
ADS