Sejak dua hari lalu, malaysiakini telah menyiarkan laporan khas mengenai pelaburan Singapura di Johor.

Selasa lalu, laporan kami menunjukkan tahap pelaburan di Johor amat rendah sekali berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu hanya RM208.9 juta berbanding RM1.9 bilion pada 2005.

Dan semalam, malaysiakini bercakap dengan seorang pengurus kanan di Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) yang yakin pelaburan dari Singapura akan mula masuk ke negeri itu dalam suku akhir tahun ini.

Bagaimanapun, dalam bahagian akhir laporan khas ini, malaysiakini bercakap dengan beberapa pelabur dari Singapura yang berkata persekitaran tidak begitu baik untuk melabur di Johor.

Mereka pada umumnya tidak berkongsi keyakinan kerajaan negeri Johor bahawa pelabur dari Singapura akan melabur tidak lama lagi.

Sebaliknya, para pelabur Singapura dan ahli perniagaan tempatan yang diwawancara malaysiakini menyuarakan kekecewaan mereka mengenai tarikan melabur di Johor yang semakin luntur.

Antara masalah yang mengekang kedatangan pelabur berkenaan ialah isu keselamatan, dasar perniagaan yang tidak mesra, kekurangan persaingan dan ketidakstabilan politik.

"Pemain utama dalam pelbagai industri, seorang demi seorang, meninggalkan negeri ini, persekitaran di sini tidak lagi kondusif untuk pelaburan," kata Loh, rakyat Singapura yang memiliki sebuah kilang di Johor Bahru.

Loh, yang tidak mendedahkan nama penuhnya bagi menjaga hubungannya dengan pihak berkuasa di Johor, tidak bersetuju dengan gambaran yang diberikan oleh JSIC bahawa pelaburan dari Singapura akan berganda dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.

"Ini tidak mungkin berlaku," katanya.

Dasar-dasar yang menyusahkan

Ia bukan setakat pelaburan dari Singapura yang jatuh dengan mendadak. Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negeri tersebut juga hanya berjumlah RM2.4 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Ini hanya merupakan 44 peratus daripada jumlah pelaburan tahun lalu.

Menurut Loh, kenaikan kos buruh telah menyebabkan industri yang menggunakan tenaga kerja yang ramai, berpindah ke negara lain yang menawarkan tenaga buruh yang murah seperti Indonesia dan Vietnam.

Menurut JSIC, Johor lebih menumpukan kepada industri yang berteknologi tinggi.

Bagaimanapun, Loh ragu dengan daya persaingan Johor untuk berbuat demikian. Menurutnya, industri berteknologi tinggi di Singapura menawarkan lebih pilihan pelaburan ekoran langkah republik itu mewujudkan taman industri secara usahasama dengan negara-negara seperti China, Indonesia dan Vietnam.

"Taman industri ini yang diwujudkan atas inisiatif kerajaan Singapura menjadi lokasi pilihan syarikat-syarikat besar, tetapi Johor Bahru tidak ada platform seumpama itu.

"Mereka yang masih kekal di Johor adalah SME yang tidak mampu berpindah. Banyak kilang-kilang besar telah berpindah dari Johor," kata Loh yang mengendalikan perniagaan di Johor sejak lebih 40 tahun lalu.

Beliau juga mengadu bahawa agensi-agensi kerajaan juga tidak mempunyai sebarang peningkatan dari segi kecekapannya.

"Adalah lebih mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing selepas 1997, tetapi kini prosedurnya menjadi semakin kompleks dan birokratik," katanya.

Faktor DEB

Pengedar perkhidmatan telekomunikasi, Sebastian Chan pula berkata, dasar-dasar perniagaan yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sejak tahun-tahun kebelakangan ini telah menjejaskan perniagaan kecil dan sederhana (SME).

"Hampir kesemua perubahan yang dibuat oleh kerajaan telah menjejaskan kita," kata ahli perniagaan Singapura itu, dengan memberi contoh kekerapan kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara.

Sejak November tahun lalu, Bank Negara telah menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali, dari 2.7 peratus kepada 3.5 peratus.

Chan juga mengadu bahawa warga Singapura didiskrimasi di Malaysia.

Beliau mendakwa telah didenda oleh polis trafik Johor kerana kerakyatannya. Tetapi beliau enggan memberi butir-butir lanjut mengenainya.

Sewaktu wawancara tersebut, Chan telah menyuarakan kebimbangannya terhadap pelaksanaan secara agresif Dasar Ekonomi Baru (DEB) ekoran desas-desus di kalangan masyarakat perniagaan bahawa kerajaan Malaysia akan memaksa semua syarikat swasta mengambil 30 peratus kakitangan bumiputera.

Pengambilan wajib 30 peratus kakitangan bumiputera itu telah dibangkitkan oleh seorang perwakilan di perhimpunan agung Umno.

Bimbang keselamatan

Masalah keselamatan di Johor Bahru juga nampaknya menjadi kebimbangan di kalangan pelabur.

"Saya nampak sendiri tiga rompakan berlaku di lokasi yang sama. Rompakan kedua berlaku hanya 15 minit selepas polis beredar," katanya.

Beliau mendakwa, keadaan keselamatan semakin merosot sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

"Ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan. Penjenayah selalu mensasarkan rakyat Singapura. Saya telah lihat banyak kes-kesnya," kata seorang lagi ahli perniagaan Lam Kai Yang, seorang konsultan pembinaan rakyat Malaysia di Johor Bahru.

Pada 6 Disember tahun ini, seorang rakyat Singapura serta konsultan perniagaannya telah diculik dari syarikat mereka yang terletak di Senai.

Dia dibebaskan empat hari kemudiannya selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM250 juta dan penculiknya belum dapat ditangkap.

Kes tersebut dilaporkan secara meluas oleh media Singapura dan terus menjejaskan keyakinan pelabur Singapura terhadap Johor.

Pertikaian PM-Dr M

Bagaimanapun, bagi JSIC, keadaan keselamatan di negeri ini tidak seperti yang didakwa. Malah, agensi kerajaan itu menyalahkan pihak media kerana memperbesar-besarkan isu tersebut.

"Rakyat Singapura menganggap Johor sebuah bandaraya yang tidak selamat, tetapi sebenarnya isu tersebut telah diperbesar-besarkan oleh pihak media di kedua buah negara...Johor adalah selamat,": kata Pengurus Kananan JSIC Mohamed Basir Mohamed Sali kepada malaysiakini.

Para pelabur juga mengatakan pertikaian yang berlanjutan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, turut menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan politik di negara ini.

Loh menegaskan bahawa kestabilan politik menentukan sama ada dasar yang ada akan terus dilaksanakan seperti yang dirancangkan atau akan wujudkan suasana tidak menentu.

Ini adalah kebimbangan besar para pelabur, kata Loh.

Dr Mahathir telah mengkritik keras Abdullah kerana membatalkan banyak dasar-dasar yang dilaksanakan sewaktu pentadbirannya dahulu, termasuk membatalkan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor. Berita asal