Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS) menyambut baik keputusan kerajaan negeri memberikan dokumentasi sementara kepada beberapa kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang membolehkan mereka mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan di negeri itu.

“Ini adalah langkah menyelamatkan nyawa, kerana ia akan memudahkan akses kanak-kanak ini kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan sementara permohonan mereka untuk kewarganegaraan sedang diproses.

"Tanpa pendidikan dan penjagaan kesihatan, kita akan menyebabkan kanak-kanak ini keciciran; menjejaskan perkembangan mereka dan mewujudkan masalah masa depan untuk mereka dan negara," kata presiden SWWS Angie Garet.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Fatimah Abdullah berkata Pejabat Premier Sarawak akan mengeluarkan dokumentasi sementara kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan yang layak memohon kewarganegaraan di bawah Seksyen 15A Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 15A menyatakan “Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang di bawah umur 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Fatimah berkata langkah itu adalah untuk memudahkan akses mereka kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan tetapi menegaskan ia bukan jaminan mendapat kerakyatan, yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Angie berkata dia berharap kerajaan persekutuan akan menyokong langkah itu.

"Sebagai penandatangan Konvensyen Hak Kanak-Kanak dan Matlamat Pembangunan Lestari PBB, Malaysia mempunyai kewajipan untuk memastikan tiada kanak-kanak ketinggalan dan setiap mereka memiliki identiti selamat.

“Keputusan kerajaan negeri untuk mengiktiraf kanak-kanak ini bagi membolehkan mereka membesar adalah satu langkah penting ke arah memenuhi kewajipan ini.

“Bagaimanapun untuk mencapainya sepenuhnya tujuan itu, perlu ada komitmen yang sama di peringkat persekutuan. Kedua-duanya perlu bekerjasama.

"SWWS menyeru kementerian persekutuan yang berkaitan untuk mengiktiraf dokumentasi sementara Sarawak supaya matlamat agar kanak-kanak ini memasuki sekolah dan menerima penjagaan kesihatan, semasa permohonan mereka diproses, diteruskan tanpa berlengah-lengah," katanya.