Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam kenyataan Universiti Malaya (UM) yang berjanji untuk menyediakan bantuan penginapan kepada pelajar dengan melabelkannya sebagai "janji kosong".
UM sebelum ini berkata akan menyediakan bantuan penginapan kepada pelajar melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, khususnya kepada keluarga B40 selepas menarik balik keputusan untuk mengadakan kelas dalam talian pada semester ini.
Dalam kenyataan, KMUM mendakwa bilik di kolej UM tidak mencukupi.
Kesatuan itu mendakwa bahawa pada September 2021, mereka telah menyediakan senarai pelajar seramai 1,875 yang memerlukan bilik di kolej kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar UM, tetapi tidak dilayan.
“Setakat 14 April 2022, hanya terdapat 583 bilik kosong yang dibuka untuk permohonan, ini bermaksud perkara sama pasti akan berulang lagi.
“Selain itu, pihak pentadbiran universiti juga gagal menangani tuntutan yang dibuat oleh kesatuan seperti isu di mana pelajar akan dikuarantin selepas semua bilik telah diduduki.
“Tambahan, KMUM ingin menegaskan bahawa pentadbiran universiti tidak memberikan ‘bantuan’ penginapan.
"Mereka hanya menggunakan pelajar untuk menampung kos operasi mereka dengan memaksa mereka membayar yuran penginapan bagi satu semester penuh walaupun pelajar hanya akan mendaftar masuk pada minggu kelapan semester tersebut,” tambahnya.
Minggu lalu, pengurusan UM menukar keputusan untuk membenarkan pelajar memilih meneruskan kelas dalam talian dan menyifatkan terdapat salah faham dalam perkara itu.
