Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kurangnya wakil petugas kesihatan dalam pasukan petugas siasat kes buli'
Diterbitkan:  May 14, 2022 3:02 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Lima pertubuhan perubatan membangkitkan kebimbangan berhubung kurangnya perwakilan dari petugas kesihatan dalam pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang dan dakwaan buli dalam sektor kesihatan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menyuarakan rasa bimbang siasatan yang dijalankan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) tidak akan mencerminkan keadaan sebenar di lapangan.

Enam pertubuhan itu adalah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA),  Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan MMA (Schomos), Jaringan Doktor Muda (DJN), Hartal Doktor Kontrak, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) dan Malaysian Medics International (MMI).

“Keahlian pasukan petugas khas ini dilihat terdiri daripada individu berkaliber di bidang masing-masing. Namun kami gusar dengan ketiadaan wakil dari barisan petugas kesihatan di lapangan sendiri, mahupun wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang mewakili ramai dari warga kesihatan. 

“Kami harap ini tidak menidakkan suara para doktor yang saban hari bertungkus lumus di wad serta klinik-klinik,.

“Melalui pertubuhan atau persatuan kesihatan, suara warga kesihatan ini diangkat bagi menyelesaikan isu buli dan salah laku di kalangan warga Kementerian Kesihatan (KKM). Pihak persatuan telah mendapatkan maklum balas, aduan serta saranan daripada wakil setiap kelompok warga kesihatan, termasuk pegawai perubatan siswazah sehinggalah pakar perubatan,” kata mereka.

Mereka berkata dapatan itu telah disampaikan kepada KKM dan sentiasa bersedia untuk memberi maklum balas lanjut.

‘Tekad politik penting’

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata pasukan petugas itu perlu melibatkan wakil doktor pelatih dan pegawai perubatan serta NGO berkaitan.

Wakil daripada Schomos MMA dan MMI juga perlu dibenarkan memberikan input mereka kepada pasukan tersebut, kata Yii yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.

“Saya juga menggesa menteri untuk membentangkannya kepada jawatankuasa parlimen bagi mendapat input dan syor dwipartisan untuk meningkatkan keyakinan awam agar isu ini dapat ditangani dengan lebih baik. 

Kelvin Yii

“Amat penting untuk kementerian mengakui kewujudan masalah seumpama ini dan mempunyai tekad politik yang diperlukan untuk melaksanakan dasar yang tegas di semua tempat kerja bagi mengekang sebarang budaya toksik dan malah ganas di kalangan petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan berasingan.

HWCITF dipengerusikan bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Hamisah Tapsir.

Ia dianggotai pakar pediatrik Profesor Dr Zabidi AM Hussin, pakar perunding psikiatri Profesor Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif International Medical University (IMU) Dr Chong Su Lin.

Ia turut dianggotai Mohamed Redza Mohamed Abdulla (peguam), Manvir Victor (aktivis dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia), B. Sivaramakrishnan (pakar dalam reka bentuk organisasi dan kerja) serta wakil Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pasukan petugas ini akan membuat analisis dan penilaian terhadap budaya kerja, pengurusan sumber manusia sektor kesihatan dan terutama berkenaan doktor pelatih.

Lihat Komen
ADS