Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas Adun Warisan mohon sertai Umno
Diterbitkan:  May 25, 2022 12:26 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Umno Sabah akan mempertimbangkan permohonan Adun Sindumin, Yusof Yacob untuk menyertai parti itu.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata permohonan itu dikemukakan pada bulan lalu dan pimpinan Umno negeri akan membincangkannya tidak lama lagi.

“Pada dasarnya Umno Sabah tidak berhalangan untuk menerima kemasukan mereka, bagaimanapun ia akan dibincangkan pada mesyuarat perhubungan Umno negeri akan datang,” katanya yang dipetik oleh portal Umno-Online.

Yusof memenangi kerusi Sindumin sebanyak dua kali atas tiket Warisan. Dia meninggalkan parti itu pada Oktober tahun lalu.

Bung Moktar berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Adun Sindumin itu di Kampung Pelakat, Sipitang, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Umno Sabah Yakub Khan, Setiausaha Umno Sabah Jafry Arifin, Bendahari Umno Sabah, Suhaimi Nasir dan Ketua Penerangan Umno Sabah, Raimee Unggi.

Mengulas lanjut mengenai permohonan Yusof dan beberapa rakannya untuk menyertai Umno, Bung yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata kemasukan mereka tanpa syarat dan ini selaras dengan konsep pintu terbuka yang diamalkan oleh parti itu.

“Mereka merupakan pemimpin yang ada pengikut tersendiri dan saya yakin kemasukan mereka bersama Umno akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Umno/BN khususnya di Sabah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang,” katanya.

Warisan telah kehilangan beberapa Adun parti itu akibat pembelotan sejak pilihan raya negeri 2020.

Ketika ini, kerajaan gabungan Gabungan Rakyat Sabah yang memerintah bawah pentadbiran Hajiji Noor menguasai 52 kerusi dalam dewan undangan (DUN) Sabah, dengan enam lagi kerusi diisi oleh wakil yang tidak diundi.

Lihat Komen
ADS