Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 6 Julai sebagai tarikh untuk mendengar permohonan membenarkan peguam diraja United Kingdom (Queen's Counsel, QC) untuk mewakili Najib Razak dalam rayuan kes rasuah International berjumlah RM42 juta.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh perbicaraan semasa pengurusan kes usul pemula petang ini.

Awal hari ini, seorang lagi hakim, Ahmad Farid Wan Salleh, menarik diri daripada mendengar permohonan Najib itu atas alasan bahawa ahli keluarga terdekatnya adalah ahli aktif Umno, parti politik yang sama dengan bekas perdana menteri itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan itu adalah presiden Umno dan kini menjadi pengerusi lembaga penasihat BN. Umno adalah sebahagian daripada gabungan politik tersebut.

Ahmad Kamal juga mengarahkan responden iaitu Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur memfailkan jawapan mereka berhubung permohonan mendapatkan QC sebelum atau pada 27 Jun.

Hakim turut mengarahkan pasukan peguam Najib memfailkan sebarang jawapan kepada Majlis Peguam, Jawatankuasa Peguam KL, Peguam Negara, dan pemfailan pendakwaan selewat-lewatnya pada 4 Julai, dan semua pihak memfailkan hujahan bertulis mereka sebelum pada 5 Julai.

Sebelum ini dalam afidavit menentang usaha bekas perdana menteri itu membawa masuk QC untuk mewakilinya, pihak pendakwaan, antara lain berhujah bahawa terdapat banyak lagi peguambela dan peguamcara tempatan yang kerap hadir dan berhujah di mahkamah mengenai kes salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang.

[Baca berita penuh]