Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan ingatkan pada 13 Mei, Bersih lepas pemimpin DAP ajak berdemo
Diterbitkan:  Jun 24, 2022 1:41 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegaskan perhimpunan jalanan yang dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukan cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Baginda bertitah pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang. Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu.

Sheikh Umar Bagharib Ali

“Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).

Kelmarin, anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mengajak rakyat berhimpun sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup.

Kenyataan itu hadir sejurus selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub menafikan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan.

Sementara itu, sultan Johor bertitah perhimpunan jalanan memberi impak negatif kepada ekonomi, menakutkan pelabur asing dan merencatkan permulihan negara daripada pandemik Covid-19.

“Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” titah Baginda.

ADS