Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahidi saran tukar menteri kewangan dalam mesyuarat MT Umno

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Zahidi Zainul Abidin malam tadi mencadangkan kerajaan menukar Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana dikatakan gagal memberikan penjelasan berhubung isu Digital Nasional Berhad (DNB).

Zainul yang juga timbalan menteri berkata, cadangan itu diutarakan olehnya sendiri ketika bertemu Tengku Zafrul, selepas pemuda Umno menyerahkan memorandum kepadanya berhubung isu tersebut.

“Saya wakil MKT ingin mendapat penjelasan pasal isu memorandum, dia (Tengku Zafrul) tak mahu dengar, nak lawan kita lawan itu jawapan dia.

“Kalau pasal menteri kewangan ini saya minta dalam mesyuarat kalau boleh kita tukar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT Umno di PWTC lewat malam tadi.

Bagaimanapun, apabila ditanya apakah reaksi ahli MKT yang lain berhubung cadangannya itu, Zahidi berkata dia sebagai kapasiti ahli MKT mencadangkan perkara tersebut untuk dibawa bincang ke peringkat Kabinet.

Zahidi sebelum ini menyokong gesaan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat DNB dan pelancaran rangkaian 5G yang sepatutnya dilaksanakan oleh syarikat itu, dengan menyifatkan pelancaran 5G adalah isu utama yang boleh menjadi satu lagi skandal seperti 1MDB.

DNB ialah syarikat kenderaan tujuan khas yang ditugaskan untuk menyediakan rangkaian 5G di seluruh negara, dan kemudian akses borong kepada syarikat telekomunikasi.

Bagaimanapun, Zahidi sebelum ini berkata kaedah pelaksanaan itu telah menghadapi rintangan industri.

Dia juga sebelum ini mendakwa bekas bosnya Saifuddin Abdullah dan Tengku Zafrul merancang DNB dan pelancaran 5G secara rahsia.

Hasrat PBM sertai BN belum dibincang

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata hasrat Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN masih belum dibincangkan.

“Itu adalah keputusan secara konsensus daripada Majlis Tertinggi BN yang belum lagi bermesyuarat.

“Lagipun saya kena tanya Setiausaha BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat yang sama.

Dia berkata demikian selepas ditanya mengenai status terkini berhubung hasrat PBM untuk menyertai komponen parti tersebut.

Pada 8 Jan lalu, 12 bahagian PBM mengusulkan agar parti itu menyertai gabungan BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Hasrat yang sama dinyatakan oleh Presiden PBM Larry Sng.

Bagaimanapun, pada 11 Jan, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata BN belum menerima permohonan rasmi daripada PBM.

Ahmad Zahid juga berkata BN sedia menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsipnya sama ada PBM atau parti lain.

Lihat Komen
ADS