mk-logo
Berita
Tak boleh samakan himpunan Bersih dengan rusuhan 13 Mei - Ambiga

Tidak wajar menyamakan rusuhan kaum yang meragut banyak nyawa dengan perhimpunan mendesak pilihan raya bebas dan adil, menurut pihak yang tidak bersetuju dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagi Ambiga Sreenevasan, perbezaan antara keduanya cukup jelas.

“Merusuh satu kesalahan jenayah. Perhimpunan aman tidak.

“Rakyat Malaysia telah matang dan menghargai hak mereka hanya untuk mengadakan perhimpunan, bantahan dan perkumpulan yang aman,” katanya kepada Malaysiakini.

Ambiga ialah bekas pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya Bersih. Siri perhimpunan jalanan besar-besaran menggemparkan elit politik negara dan membawa kepada pelaksanaan beberapa langkah seperti penggunaan dakwat kekal semasa proses pengundian.

Perhimpunan awal Bersih, bagaimanapun, dicemari oleh beberapa insiden keganasan yang didakwa penganjur berpunca daripada tindakan tidak wajar polis.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan perhimpunan jalanan yang dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukan cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Baginda bertitah pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang.

“Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada 24 Jun lalu.

Sementara itu, Ambiga menyatakan bahawa hak untuk berhimpun secara aman diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dilindungi di Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai hak asasi.

Malaysia anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB

“Sangat penting hak ini sehinggakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan mandat pelapor khas mengenai hak perhimpunan aman. Malaysia telah meluluskan Akta Perhimpunan Aman pada 2012 yang mengiktiraf hak ini.

“Malaysia kini menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk kali ketiga dan mesti memahami dan menghargai hak ini atau kita akan kehilangan kuasa moral untuk kekal dalam Majlis Hak Asasi Manusia,” tambahnya.

Menurut Ambiga, yang juga bekas presiden Badan Peguam Malaysia, berkata polis menyedari perkara ini dan memudahkan bantahan Bersih berikutnya.

Dalam pada itu, Ambiga mengkritik polis kerana menggagalkan perarakan yang dirancang oleh peguam untuk mendukung kebebasan badan kehakiman berikutan siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan Ghazali, yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

“Memalukan, kerana polis mampu mengendalikan perhimpunan seperti itu dengan berkesan dan sebaliknya memilih untuk mengepung peguam serta enggan membenarkan kami berjalan.

"Sungguh memalukan untuk negara yang menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” tambahnya.

Sementara menunggu kedatangan pilihan raya, Ambiga berkata, orang ramai hanya mampu menyampaikan keluhan mereka kepada kerajaan dengan melaksanakan hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

“Pembatasan atau pengehadan secara tidak munasabah hak sedemikian melanggar semua norma hak asasi manusia dan hanya meningkatkan kemarahan dan kekecewaan rakyat,” tambahnya.

Pesuruhjaya Suhakam baru

Dalam perkembangan berasingan, Ambiga bersetuju dengan bekas pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang menggesa pelantikan pesuruhjaya baru disegerakan.

“Kami mempunyai beberapa pesuruhjaya yang cemerlang pada masa lalu yang telah mengeluarkan ketetapan kukuh dan diharapkan pesuruhjaya baru akan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pesuruhjaya terdahulu.

“Sudah tentu, diharapkan pesuruhjaya yang baru dilantik akan mempunyai pengetahuan asas hak asasi manusia serta instrumen antarabangsa yang berkaitan.

"Akhirnya mereka mesti menghormati hak asasi manusia dan mempunyai hati dan fikiran untuk tanggungjawab itu," tambahnya.

[Baca berita asal]

ADS