Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menyelar ahli parlimen pembangkang hari ini, dengan menuduh mereka tidak menghormati bentara Parlimen yang ditugaskan untuk membawa keluar ahli parlimen Warisan semalam.

Katanya, ahli Parlimen berkenaan sebenarnya tidak menghormati cokma diraja yang berada di hadapan Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat huru-hara semalam selepas usul tergempar untuk membahaskan rampasan aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu ditolak.

Semasa kekecohan itu, Timbalan Speaker Rashid Hasnon menggantung Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) dan mengarahkan bentara mengiringinya keluar daripada dewan.

Bagaimanapun, ahli parlimen pembangkang membantah keputusan itu dan berkerumun mengelilingi Isnaraissah sehingga menghalang bentara daripada membawanya keluar secara fizikal. Dia hanya keluar apabila ingin mengadakan sidang media di bilik media, kemudiannya.

Mengulas kejadian itu, Azhar berkata dia sedih kerana ahli parlimen bertindak menghalang bentara - yang disifatkannya sebagai muda-mudi - daripada melaksanakan tugas mereka.

“Saya tengok bentara semalam, dua orang muda-mudi berdiri kat situ 40 minit, tak dihormati langsung, muda-mudi kita yang bekerja di parlimen.

“Tak hormat saya tak apa, saya speaker saya boleh terima, itu hidup saya, tugas saya, tetapi hormat la muda-mudi kita yang kerja sebagai bentara, dia orang kerja saja,” kata Azhar.

Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan-Kuala Selangor) tidak bersetuju dan tampil membela tindakan pembangkang dengan berkata bahawa sasaran mereka bukannya bentara.

Azhar terus mencelah dan merujuk kepada comar diraja di Dewan Rakyat.

“Mereka (bentara) berdiri situ, terkapa-kapa, tidak diendahkan. Kuasa mereka tak dihormati (sedangkan) cokma diraja berada di hadapan ni.

“Kepada siapa kita tak hormati semalam? Apa signifkan cokma diraja berada di depan ni?” soalnya lagi.

“Apa signal yang kita cuba tunjuk kepada rakyat semua? Saya amat sedih…rakyat bukan tengok saya saja, rakyat tengok semua…

“Saya selalu bagi kelonggaran, saya bertolar ansur, hendak cakap saya bagi cakap. Tapi lunas-lunas adab kita janganlah kita tinggalkan, tidak elok,” katanya.

Cokmar diraja itu adalah satu alat kebesaran yang dikurniakan oleh Raja-raja Melayu yang menjadi simbol kuasa diraja dan seterusnya kuasa Parlimen.

Laman web Parlimen menyatakan bahawa tanpa cokmar itu, tiada keabsahan bagi kedua-dua dewan dan persidangan tidak dapat dijalankan.

Azhar turut menegur ahli-ahli parlimen yang kerap merujuk kepada buku amalan parlimen oleh Erskine May untuk membenarkan tindakan yang terarah kepada kepentingan mereka.

Namun, katanya, apabila dia membuat peraturan berlandaskan buku amalan itu, ia tidak dapat diterima oleh mereka.

“Bila saya buat peraturan, kita ikutlah peraturan itu.

“Ada alternatif, ada prosedurnya. Kalau nak disemak, saya akan usul untuk disemak. Jangan kita buat kecoh sebegitu,”  katanya.

Semalam, keengganan Isnaraissah Munirah untuk duduk dan menerima keputusan speaker berhubung penolakan usulnya menyebabkan Mohd Rashid Hasnon yang menggantikan Azhar mengarahkan bentara mengiringi ahli parlimen Kota Belud itu keluar dewan.

Isnaraissah Munirah tidak keluar dan dia yang dikelilingi wakil rakyat pembangkang tetap bersuara meminta usul itu dibahas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS